Sun07222018

LAST_UPDATESat, 21 Jul 2018 9pm

Aaron Aziz, Farid Kamil Terima Gelaran Datuk

SEKALUNG tahniah diucapkan buat pelakon terkenal, Farid Kamil dan Aaron Aziz di atas pengurniaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, hari ini.

Dua figura kacak berkenaan merupakan antara 169 individu yang tersenarai sebagai penerima darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Mendahului senarai penerima adalah Isteri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datin Seri Anggraini Sentiyaki yang menerima Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk.

Seterusnya diikuti pula 21 lagi individu lain termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Norol Azali Sulaiman, Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Dr Mohammed Azman Aziz, dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Abu Bakar Harun.

Di samping itu, Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan Darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada enam individu dan Setia Mahkota Pahang (SMP) pula kepada lapan penerima.

Selain itu baginda juga berkenan mengurniakan Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 20 individu, Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) enam individu dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 13 penerima.

Sementara itu, antara selebriti terkenal yang  pernah menerima darjah kebesaran daripada kerabat diraja Pahang sebelum ini adalah komposer Ramli MS, penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan pelakon, Datuk Adi Putra.

– MYNEWSHUB.CC