Tue04242018

LAST_UPDATEMon, 23 Apr 2018 11pm

15 Peratus Pantai Malaysia Alami Hakisan

KUALA LUMPUR – Kajian Hakisan Pantai Negara (NCES) pada tahun 2015 mendapati kira-kira 15.3 peratus daripada kawasan pantai sepanjang 8,840 kilometer (km) di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak mengalami hakisan.

 

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, kawasan pantai negara adalah sepanjang 8,840 km merangkumi Semenanjung Malaysia (3,772 km), Sabah (3,753 km), Sarawak (1,234 km) dan Labuan sepanjang 81 km.

“Sebanyak 44 lokasi telah dikenal pasti sebagai hakisan kritikal sepanjang 55.4 km. Pantai di Terengganu dan Kelantan paling banyak mengalami hakisan,” kata kenyataan itu hari ini.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata demikian bagi mengulas tentang isu hakisan pantai di Kuala Nerus, Terengganu yang dibangkitkan pihak tertentu baru-baru ini.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, pantai Kuala Nerus merupakan salah satu kawasan yang mengalami hakisan di bawah Kategori 2 iaitu mengalami hakisan yang kritikal.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, di bawah Rancangan Malaysia (RM) Ke-11, sebanyak RM 90 juta telah diluluskan bagi Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Nerus.

Jelas kementerian itu, kerja-kerja ukur, penyediaan rekabentuk terperinci, perolehan perunding dan penyiasatan tapak dijangka akan dimulakan pada tahun 2018.

“Sebanyak RM 10 juta akan diperuntukkan bagi Kerja-Kerja Pengawalan Hakisan Di Kawasan Kg. Telipot, Kuala Nerus, Terengganu bagi kerja-kerja beach nourishment,” jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun, kata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, pada masa ini, terdapat dua kerja pengawalan hakisan pantai sedang dilaksanakan kerja Membina Struktur Lapis Lindung (Revetment) Di Pantai Kampung Telipot, Kuala Nerus, Terengganu (sepanjang 150 meter)

Jelas kementerian itu, turut dilaksanakan kerja-kerja Darurat Mengawal Hakisan Pantai Terhakis Di Pantai Mengabang Telung, Kuala Nerus, Terengganu (sepanjang 350 meter).

– Mynewshub.cc