Sun02252018

LAST_UPDATESun, 25 Feb 2018 10am

Perjuangan Seorang Pesakit Kanser

Apa perasaan anda jika diberitahu anda menghidap kanser tahap 4? Kanser—sesuatu yang sangat digeruni; sering diumpamakan seperti dijatuhi hukuman mati. Bagi pemilik nama Mohamad Hirwan Hatta, apabila menerima keputusan yang mengesahkan beliau menghidap kanser limfoma tahap 4, terasa seolah-olah masa telah terhenti. Suasana tiba-tiba menjadi sunyi. Setiap detikan jam seakan-akan menghitung usianya, terus memendekkan hayatnya. Adakah esok masih ada? Lusa? Minggu depan?

Ketika sihat, atau tidak merasa sakit, kita selalu mengambil mudah perihal hidup dan masa kita di dunia ini; seolah-olah umur kita masih panjang. Umur belum sampai 40 tahun lagi. Bukankah kita pernah mendengar pepatah yang mengatakan hidup ini bermula pada usia 40? Maka, ketika dimaklumkan tentang penyakitnya, bagi Hirwan, tiada lagi yang penting melainkan berapa lama masa yang berbaki baginya di dunia ini.

Hirwan menceritakan segala-galanya bermula apabila beliau sering batuk tanpa henti. Leher beliau juga membengkak dan semakin hari semakin susah untuk bernafas. Dada beliau terasa seperti terhimpit. Apabila oksigen kurang, beliau sentiasa berasa sangat penat.

Dengan keadaan yang demikian dan demam yang berterusan, satu demi satu pemeriksaan dibuat di hospital. Daripada ujian batuk kering kepada hepatitis, malahan HIV juga. Semuanya berkeputusan negatif. Mulalah ada suara-suara yang mengatakan kemungkinan beliau kena sihir atau buatan orang dan seterusnya mencadangkan pengamal pengubatan alternatif yang mereka kenali di serata negara.

Akhirnya, setelah beberapa bulan, pada April 2008, keputusan ujian biopsi tisu dan imbasan CT (CT scan) menunjukkan ketumbuhan sebesar hampir 12 sm antara paru-parunya positif limfoma tahap 4. Beliau terus dirujuk kepada pakar hematologi di Hospital Ampang. Selepas berjumpa doktor pakar, beliau terus dimasukkan ke wad. Bermulalah episod hospital sebagai rumah kedua beliau.

Ketika itu, bagi Hirwan, tiada yang lebih penting selain usaha dan ikhtiar untuk membebaskan diri daripada penyakitnya. Beliau terus memutuskan hubungan dengan dunia luar dan fokus pada rawatan kemoterapi dan sebagainya. Beliau mengambil keputusan untuk mengubah cara hidup. Tidak kiralah esok, lusa atau minggu depan, beliau mesti kuatkan semangat. Beliau tidak mahu mengalah tanpa berjuang.

Sejak hari tu, Hirwan memperbanyakkan solat sunat selain menjaga solat 5 waktu setiap hari. Jika sebelumnya beliau sering kali tidak cukup tidur, beliau mula memastikan tidur sekurang-kurangnya 7 atau 8 jam sehari. Beliau juga mengamalkan berjoging selang sehari; pada peringkat permulaan, beliau hanya berjalan laju kerana ketumbuhan antara paru-paru itu menghimpit saluran nafasnya. Selain itu, Hirwan juga menjauhi perkara-perkara yang boleh menyebabkan beliau stres. Hirwan berusaha untuk sentiasa berasa gembira.

Selepas menjalani 16 sesi kemoterapi, ujian imbasan PET (PET scan) menunjukkan masih ada kanser di beberapa bahagian badannya walaupun sudah banyak berkurang. Laporan ujian tersebut betul-betul mematahkan semangat Hirwan ketika itu. Doktor pakar mencadangkan pembedahan pemindahan sumsum tulang sebagai rawatan susulan. Hirwan berada di persimpangan dilema; tidak tahu sama ada hendak bersetuju atau tidak, kerana pembedahan itu sangat berisiko tinggi.

Beliau melengah-lengahkan jawapannya kerana ingin mencuba ikhtiar lain. Setelah dua bulan berlalu, beliau masih belum memberi jawapan kepada doktor pakar yang merawatnya. Ketika itu, tanpa diduga, seorang sahabat yang juga bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) mengajak beliau mengerjakan umrah. Tanpa disangka juga, tiga lagi bekas pelajar MTD hendak turut serta bersama mereka berdua menunaikan umrah. Walaupun tidak mempunyai wang yang cukup kerana banyak yang telah dihabiskan dan diperlukan untuk mengubati penyakitnya, sahabat-sahabat MTD beliau sanggup menaja pemergiannya ke sana.

Perjalanan mengerjakan umrah pada April 2010 itu memberikan keseronokan kepada Hirwan. Lupa seketika tentang kanser yang dihidapinya. Hirwan begitu seronok mengerjakan ibadat di tanah suci Mekah hingga beliau memutuskan untuk melanjutkan masa di sana walaupun sahabat yang lain telah pulang ke tanah air selepas 2 minggu.

Hirwan merasakan satu ketenangan di Mekah yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Apabila bersujud di hadapan kaabah, Hirwan memahami erti sebenar berserah dan reda pada ketentuan Ilahi. Beliau reda akan apa juga yang bakal terjadi selepas itu, sama ada akan sembuh atau tidak. Ia tidak bermakna beliau menyerah kalah tetapi bertawakal setelah semua usaha dilakukan. Beliau benar-benar dapat menghayati makna ayat ke-5 dalam surah Al-Fatihah yang bermaksud, “Hanya kepadaMu kami sembah, dan hanya kepadaMu kami meminta pertolongan”.

Dari saat itulah beliau kembali bersemangat dan menanam azam untuk memperbaiki diri dalam segala segi kerana menyedari betapa besarnya rahmat Allah. Hirwan tahu yang beliau boleh menjalani hidup dengan lebih baik dan bermakna walaupun mungkin masanya tinggal sedikit sahaja lagi di dunia ini. Beliau tidak akan mensia-siakan setiap saat yang berbaki dalam hidupnya.

Sepanjang berada di Mekah dan Madinah, di samping menggunakan setiap ruang waktu untuk beribadat, Hirwan juga tidak putus-putus meminum air zam-zam. Setiap kali minum air zam-zam, beliau merasa lebih bertenaga. Hirwan pulang ke Malaysia dengan perasaan yang semakin bersemangat dan lebih positif.

Selang beberapa bulan, seorang lagi sahabat bekas pelajar MTD menawarkan visa kerja pada musim haji yang secara tidak langsung membolehkan Hirwan mengerjakan haji. Alhamdulillah, pada November 2010, beliau sekali lagi ke tanah suci Mekah dan Madinah; kali ini untuk mengerjakan haji pula. Hirwan mengambil kesempatan itu untuk meminum air zam-zam secara konsisten sehingga sahabat MTD yang menemani beliau dalam perjalanan hajinya pula bising kerana beliau kerap ke tandas.

Sekembalinya ke Malaysia setelah menunaikan ibadat haji, Hirwan ke hospital semula untuk membuat pemeriksaan susulan. Subhanallah! Doktor mendapati sel-sel kanser dalam badan Hirwan sudah tiada. Ketumbuhan dalam dada beliau sudah mengecut dan tiada sebarang tanda yang sel kansernya masih aktif. Alhamdulillah! Allahu Akbar!

Hirwan tergamam seketika. Beliau menitiskan air mata kesyukuran kerana merasai betapa besarnya kuasa Allah. Sungguh! Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah belaka. Beliau terasa bagaikan mati hidup semula.

"Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan." (surah al-Baqarah, ayat 107)

"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya." (Surah at-Talaq, ayat 2)

Kini, Hirwan berasa sangat sihat yang seperti tidak pernah beliau rasai sebelum ini, baik daripada segi fizikal mahupun rohani. Sembilan tahun selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap 4 pada 2008, Hirwan telah pun berlari sejauh 2,320 km!

Selepas disahkan bebas daripada kanser, beliau telah mendirikan rumahtangga dan mengambil kesempatan untuk melawat beberapa negara di Asia dan Eropah. Terbaharu, pada awal 2017, beliau telah berjaya menakluki Gunung Kinabalu, puncak yang tertinggi di Asia Tenggara.

Hirwan mahu berkongsi ceritanya dengan orang ramai dan berharap perkongsian perjuangan beliau melawan kanser boleh menjadi inspirasi dan pembakar semangat bagi semua pesakit kanser di luar sana, termasuk ahli keluarga dan rakan mereka.

Bagi saya yang mendengar cerita Hirwan, mesej penting bagi kita semua adalah walau apa jua penyakit yang kita hidapi atau apa sekalipun masalah atau cabaran yang dihadapi, jangan mudah berputus harap. Sentiasalah berusaha dan berdoa dan yakinlah pada Allah. Sesungguhnya Allah itu dekat dan Dia sentiasa mendengar.

 

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan