Mon07232018

LAST_UPDATEMon, 23 Jul 2018 7pm

Jangan Buat Pandai Guna Google Translate – Zambry

“JANGAN berlagak pandai, rujuk dahulu ketua jabatan kerana masalah bahasa ini, elok ditanya terlebih dahulu.”
Itu peringatan Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berhubung kesilapan ayat bahasa Inggeris pada notis pemberitahuan di Pusat Penerangan Pelancongan Perak (ITIC), yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Besar Perak itu berkata penggunaan ‘Google Translate’ merupakan antara punca kesalahan penulisan notis terbabit yang dilakukan oleh seorang kakitangan bertugas di ITIC.

“Saya hubungi Datuk Bandar mengenai isu ini dan penjelasan awal mendapati kakitangan terbabit guna ‘Google Translate’ konon supaya mahu ia nampak ‘international‘.

“Jadikan ini pengajaran, mana-mana kakitangan sebelum mengeluarkan kenyataan atau apa-apa saja tulisan untuk tatapan awam perlu kalau tidak pasti, rujuk dahulu.

“Ini kerana ia akan menjadi tatapan ramai serta melibatkan imej kita,” kata Zambry dalam satu sidang media yang diadakan di Ipoh pada Rabu.

Tambahnya, segala urusan rasmi kerajaan negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seharusnya dilakukan dalam Bahasa Malaysia.

“Dah berulang kali saya sebutkan ini, segala memo atau sebagainya perlu dilakukan dalam bahasa Malaysia sekiranya mahu dalam Bahasa Inggeris, ia akan ditulis bersama-sama Bahasa Malaysia.

“Apabila sudah terjadi seperti ini, ia seolah-olah menunjukkan kita tidak serius dan boleh mengundang tohmahan,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kakitangan terbabit akan diberikan surat amaran keras serta nasihat supaya isu seumpama ini tidak akan berulang di masa hadapan.

-MYNEWSHUB.CC