Fri06222018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

Pelajar Tahun Satu Mangsa Banjir Pertama Di Pahang

Pic: BernamaPic: BernamaKUANTAN: "Pakaian sekolah arwah masih ada yang belum sampai. Alat tulis pun ada yang masih di dalam plastik. Allah beri saya pengalaman hantar anak ke sekolah dua hari sahaja."

Itu luahan Mohd Afif Abd Razak, 32, bapa kepada Muhammad Faris Aqeel, 7, yang menjadi korban pertama banjir di Pahang, selepas lemas di longkang sawah padi di Kampung Padang Jaya, Sungai Lembing di sini pada 6 petang tadi. 

Mohd Afif yang merupakan penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata berita anaknya lemas dimaklumkan jirannya yang melihat dua anaknya terjatuh ke dalam sawah padi yang ditenggelami air kira-kira lapan meter.

Katanya, anak bongsunya Muhammad Firas Adam, lima, berjaya diselamatkan oleh seorang lagi jiran dan kini berada di zon kuning Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, bagi pemeriksaan doktor memandangkan beliau menghidap asma. 

"Saya nampak selipar arwah di batas. Tanpa berlengah saya terus terjun. Air begitu dalam...saya menyelam sehingga ke dasar dan lihat arwah terperosok di sudut longkang itu. Saya tarik arwah. Waktu itu arwah sudah tiga minit di dalam air.

"Saya dan jiran yang juga pesara bomba cuba lakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR). Kami cuba sehingga paramedik sampai, dan mereka sahkan yang arwah sudah tiada," katanya semasa ditemui pemberita di Jabatan Forensik HTAA di sini, hari ini.

Mohd Afif menambah beliau tidak tahu mengapa anaknya bermain di kawasan sawah padi itu, yang terletak berhampiran dengan rumahnya, kerana mereka jarang ke situ sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menyedari arwah begitu aktif selepas pulang dari sekolah, di sebuah sekolah swasta Islam di sini, hari ini.

Katanya, pemergian arwah amat berat untuk diterima keluarga terutama isterinya Intan Fazwani Che Zainol, 33, yang sedang mengandung tiga bulan.

"Kami akur dan reda...tapi kehilangan ini sudah pasti mengambil masa untuk kami tenangkan diri. Arwah anak sulung, saya letakkan macam-macam harapan kepadanya...tapi takdir saya, anak saya adalah anak syurga," katanya. 

Mohd Afif menambah jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Sagu 1 di sini, sama ada malam ini atau pagi esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh semasa ditemui mengesahkan kejadian. 

-BERNAMA