Sun07222018

LAST_UPDATESun, 22 Jul 2018 8pm

Manifesto BN PRU14 Terbaik Untuk Rakyat

Foto: BernamaFoto: BernamaKUALA LUMPUR: BN akan menjadikan manifesto PRU14 sebagai yang terbaik dalam mengutamakan nasib rakyat.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau serta timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan parti komponen berazam melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

“Banyak sebab mengapa saya tidak mahu beritahu apa gambaran manifesto kita, tetapi insya-ALLAH apabila tiba masanya, manifesto kitalah yang kita akan jadikan yang terbaik.

“Ia akan menentukan keutamaan kita dalam memperjuangkan nasib rakyat untuk lima tahun akan datang,” katanya sewaktu berucap melancarkan portal therakyat.com di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Portal theRakyat merupakan portal rasmi BN bagi pilihan raya umum akan datang.

Turut hadir Ahmad Zahid, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong dan barisan kepimpinan parti komponen yang lain. –Bernama

Najib berkata BN bukan sekadar berjanji, namun akan melaksanakan manifesto seperti pada PRU13 yang hampir kesemua janjinya telah dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.

Menurutnya, BN mempunyai pemimpin yang memahami isi hati rakyat dan bukannya seperti pemimpin pembangkang yang sekadar ingin membalas dendam dan memperjuangkan kepentingan peribadi.

“Kita ada agenda yang jauh lebih baik untuk rakyat dan negara, tidak pasti belah sana apa agenda. Kita (BN) mempunyai persefahaman yang jitu tetapi belah sana (pembangkang) marriage of convenience (kerjasama untuk mencapai tujuan peribadi) dan kita consistent, tetapi belah sana ‘consistently inconsistent’,” katanya.

Najib berkata persefahaman di kalangan parti komponen lebih terserlah dengan pertemuan antara MCA dan Gerakan pada Sabtu ini berkaitan PRU14 sekali gus merupakan detik bersejarah kerana kali pertama diadakan.

Dalam konteks menghadapi PRU14, Najib percaya portal therakyat.com akan menjadi wadah terbaik untuk kerajaan BN berhubung dengan rakyat bagi menyampaikan maklumat termasuk profil calon dan manifesto BN.

Perdana menteri berkata media sosial merupakan platform terpenting untuk BN memberikan maklumat sebenar berhubung program dan agenda kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata BN pernah menjadi mangsa sebaran maklumat palsu, atau fake news dan ia sedikit sebanyak membawa kesan kepada BN.

“Kita percaya perkara ini akan diulangi lagi sehingga ke PRU14. Sebab itu, kita perlu mewujudkan satu platform yang menjadi wadah dan boleh digunakan untuk menghubungi rakyat,” katanya.

Portal therakyat.com itu memaparkan berita dan maklumat berkaitan BN bagi PRU14.

Ia mempunyai tujuh segmen utama iaitu wawancara, majalah, analisis, ‘e-rakyat’, maklumat grafik, rakaman video dan manifesto BN serta dilengkapi beberapa ciri terkini dan digital supaya mesej yang disampaikan lebih dinamik dan menarik.

-BERNAMA