Sun07222018

LAST_UPDATESun, 22 Jul 2018 10am

Didakwa Gara-Gara Sebut Ungkapan Berbunyi 'Bom’

MUMBAI: Gara-gara menyebut perkataan berbunyi ‘bom’, seorang lelaki India terpaksa dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini.

Portal BBC melaporkan, Vinod­ Moorjani, 45, dituduh menyebut perkataan ‘bomb hai’ yang bermaksud terdapat bom di sini dalam bahasa Hindi.

Bagaimanapun, lelaki itu menafikan tuduhan berkenaan dan mendakwa dia cuma memberitahu status penerbangannya iaitu ‘Bom-Del’ atau dari Bombay ke New Delhi.

Bombay adalah nama lama kepada bandar Mumbai di India sebelum ini.

Difahamkan, Vinod cuba menerangkan status penerbangannya menerusi satu panggilan telefon kepada pegawai di situ selepas kecewa kerana penerbangannya tertangguh.

Akhbar Press Trust of India yang memetik kenyataan polis bagaimanapun percaya lelaki tersebut cuba menganggu pe­nerbangan keluar agar tidak terlepas untuk ke Rom di Itali.

Dalam pada itu, seorang pegawai memberitahu sebuah agensi berita bahawa Vinod dalam perjalanan dari Mumbai ke Virginia di Amerika Syarikat (AS) bersama isteri dan anak-anaknya.

“Moorjani (Vinod) bertindak memutuskan talian lebih awal hingga menyebabkan operator telefon memaklumkan kepada ketuanya yang kemudian membuat laporan polis,” katanya.

Vinod yang juga seorang ahli perniagaan dan Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat di AS bagaimanapun mendakwa, dia terpaksa mematikan talian kerana terdapat gangguan ketika itu.

Lelaki itu kemudian didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba melakukan ugutan jenayah serta beberapa kesalahan lain.

- Utusan Online