Sat04212018

LAST_UPDATESat, 21 Apr 2018 10am

Banjir: 6 Sekolah Ditutup Di Kemaman

Foto: BHFoto: BH

KUALA TERENGGANU: Seramai 2,333 murid tidak dapat bersekolah hari ini apabila enam sekolah di Kemaman ditutup akibat banjir.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin, berkata maklumat terbaharu diterima pihaknya setakat jam 8 pagi ini, lima sekolah terpaksa ditutup berikutan laluan ke sekolah ditenggelami banjir, manakala satu kerana dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, hujan lebat sejak malam tadi menjejaskan enam sekolah terbabit, dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok dijadikan PPS mangsa banjir.

"Lima lagi sekolah iaitu SK Pasir Gajah, SK Padang Kubu, SK Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Tayor, SK Pusat Kemaman dan SK Tayor terpaksa ditutup berikutan banjir yang melanda kawasan perkampungan ini menyebabkan laluan ke sekolah tidak dapat dilalui.

"Penutupan sekolah ini juga menjejaskan seramai 197 guru dan 31 Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP)," katanya.

Beliau berkata, SK Pusat Kemaman merekodkan jumlah murid paling ramai terjejas iaitu 940 orang, termasuk 65 guru dan 12 Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

Ia diikuti SK Padang Kubu seramai 264 murid dengan 26 guru dan lima AKP.

SK Pasir Gajah yang ditutup sejak kelmarin menjejaskan murid seramai 213 orang, 23 guru dan tiga AKP.

SK RKT Tayor pula menjejaskan 157 murid, 18 guru dan tiga AKP, manakala 199 murid, 22 guru dan empat AKP di SK Tayor.

- Berita Harian