Thu04262018

LAST_UPDATEThu, 26 Apr 2018 11am

Penagih Jatuh Dari Bumbung Ketika Larikan Diri

HULU BESUT - Tindakan seorang lelaki dipercayai penagih dadah melarikan diri daripada serbuan pihak berkuasa mengundang padah apabila dia terjatuh dari bumbung rumah keluarganya di sebuah kampung di sini Rabu lepas.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, suspek berusia 28 tahun itu terjatuh selepas bumbung yang dipijaknya pecah dan dia jatuh ke lantai rumah dan mengalami cedera ringan sebelum dia diberkas.

Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Normayati Mat Nawi berkata, sebelum itu sepasukan anggota penguatkuasa AADK Besut dan polis yang bertindak atas maklumat telah menyerbu sebuah rumah di situ.

Menurutnya, bagaimanapun pihak berkuasa mendapati suspek tidak berada di rumah berkenaan sebaliknya bersembunyi di sebuah pondok kecil yang terletak bersebelahan rumah berkenaan.

“Menyedari kehadiran polis suspek memanjat ke bumbung pondok itu melalui bahagian dalam pondoknya sebelum dia melompat di atas bumbung rumah saudaranya yang terletak bersebalah,” katanya.

Normayati berkata lagi, dia kemudian berdiri di atas bumbung itu sambil anggota penguatkuasa cuba memujuk suspek agar suspek turun yang menyerah diri.

Menurutnya, namun selepas beberapa minit dipujuk, suspek bertindak berlari di atas bumbung bagi mengelak ditangkap.

-Sinar Harian