Sun05202018

LAST_UPDATESun, 20 May 2018 9pm

Mangsa Banjir Di Johor Meningkat

Foto: BHFoto: BH

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Segamat dan Mersing mencatatkan peningkatan ketara apabila seramai 537 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan, berbanding hanya 160 orang malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata sehingga jam 7 pagi ini mangsa daripada 126 keluarga dipindahkan ke sembilan pusat.

Katanya, seramai 97 mangsa daripada 20 keluarga dipindahkan di empat pusat pemindahan Segamat.

"Kawasan terjejas banjir di Segamat membabitkan kawasan sekitar tiga kampung, iaitu Kampung Seberang Badak, Pogoh Tengah dan Tekam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayub berkata, jumlah mangsa banjir di daerah Mersing juga semakin meningkat apabila seramai 430 mangsa daripada 106 keluarga dipindahkan di lima pusat.

Katanya, banjir di Mersing membabitkan kawasan Kampung Orang Asli Labong, Tenglu Besar, Air Papan, Kampung Baru Jemari dan Sungai Muka Dua.

Beliau berkata, Jalan Telok Arong ditutup kepada semua lalu lintas akibat runtuhan cerun.

Katanya, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif Jalan Tanjung Resang (J183) - Jalan Mersing/Endau (FT003) - Jalan Air Papan (J79).

- Berita Harian