Sun07222018

LAST_UPDATESat, 21 Jul 2018 9pm

‘Parti Akan Tentukan Di Mana Saya Bertanding’

SHAH ALAM: Pas akan bertanding dan berusaha mempertahankan kemenangan di Parlimen Temerloh, meskipun berlaku pertempuran tiga penjuru.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan berkata, meskipun pelbagai spekulasi negatif dan fitnah mula dilepaskan, lebih-lebih lagi kesediaan Amanah bertanding di kawasan itu, sama sekali tidak akan menjejaskan semangat juang wakil Pas bertanding di kawasan berkenaan.

"Insya-ALLAH, walau 10 kali ganda lagi mereka lancarkan serangan, ia tidak akan menjejaskan semangat juang saya bersama Pas, malah ia membuatkan metabolisme perjuangan saya makin meningkat," katanya dalam kenyataan, semalam.

Nasrudin mengulas demikian selepas timbul dakwaan mengaitkan dirinya sedang mencari tempat selamat untuk bertanding terutama di Kelantan.

Menurutnya, posisi untuk bertanding semuanya diatur oleh parti.

"Saya adalah pekerja parti, yang memperjuangkan Islam iaitu Pas, di mana saya bertanding, itu bukan pilihan dan keputusan saya.

"Posisi saya diletak atur oleh parti, hanya calon bebas sahaja boleh sesuka hati bertanding di mana-mana kawasan di seluruh negara, mereka tiada parti yang urus lokasi mereka bertanding," katanya.

- Sinar Harian