Thu04262018

LAST_UPDATEThu, 26 Apr 2018 11am

50 Tapak Pasar Komuniti Jauhar Diwujudkan Di Johor Menjelang 2022

Datuk Seri Mohamed Khaled NordinDatuk Seri Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU -- Lima puluh tapak Pasar Komuniti Jauhar akan diwujudkan di seluruh Johor dalam tempoh lima tahun ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau  berkata pasar yang diuruskan Koperasi Iskandar Malaysia Berhad (imCOOP) itu merupakan usaha kerajaan negeri bagi membolehkan masyarakat  mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan dan 50 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

"Kewujudan Pasar Komuniti Jauhar ini membuktikan kerajaan Johor sentiasa prihatin dan berusaha untuk membantu masyarakat khususnya golongan B40 dalam mengharungi kos sara hidup yang tinggi dan mencabar.

"Pasar dibuka setiap hujung minggu ini menawarkan barangan basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran," katanya berucap pada majlis perasmian Pasar Komuniti Jauhar di Rumah Pangsa Tasek 64, Masai, di sini hari ini.

Khaled berkata langkah kerajaan negeri mewujudkan Pasar Komuniti Jauhar bukan bermusim, sebaliknya berpanjangan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat negeri ini.

​​​​​​​​​​Sementara itu, seorang suri rumah, Zatul Ifah Abdul Rapuh, 27, berkata kewujudan pasar terbabit yang berdekatan rumahnya memudahkan pembelian dan menjimatkan masa.

"Terima kasih kepada kerajaan Johor yang menyediakan pasar seumpama ini walaupun hanya hujung minggu. Barangan yang dijual didapati segar dengan harga berbaloi," kata ibu dua anak itu.

​​​​​​​​​​​​​​Pemandu  teksi, Jamaluddin Mata, 58, berkata kerajaan Johor sudah melakukan pelbagai program dan inisiatif bagi membantu  golongan berpendapatan rendah dengan terbaharu  mewujudkan pasar tersebut.

"Saya bersyukur dengan usaha pihak kerajaan untuk meringankan beban rakyat seperti saya. Banyak keselesaan diberikan dan hari ini saya dapat membeli barang runcit yang segar dan harga lebih murah," katanya.

-- BERNAMA