Mon07232018

LAST_UPDATESun, 22 Jul 2018 9pm

Pembangkang Terdesak Dapatkan Sokongan Masyarakat India

Datuk C. Sivarraajh.Datuk C. Sivarraajh.KUALA LUMPUR – Kem pembangkang semakin terdesak mendapatkan sokongan masyarakat India menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan ini terbukti apabila mereka bekerjasama  dengan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan Parti Generasi Baru.

Ketua Pemuda MIC Datuk C. Sivarraajh berkata ia jelas satu tindakan drastik di saat-saat akhir demi meraih simpati masyarakat India dan bukannya benar-benar memperjuangkan nasib dan masa depan mereka.

“Kita lihat, langkah itu tidak akan berjaya menarik sokongan pengundi India memandangkan dasar mereka sendiri tidak jelas. Malah masyarakat India sedar, pembangkang bergelut untuk mendapatkan kerusi sesama sendiri.

Ini berbeza dengan langkah Barisan Nasional (BN) yang telah merangka pelbagai pelan pembangunan dan dasar yang konsisten terhadap masyarakat India selama ini seperti Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India (MIB).

“Berbanding janji palsu pembangkang, ini platform yang jelas memberi pendekatan dan dasar masa depan jelas dalam mengubah landskap kehidupan masyarakat India,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dilapor, Pengerusi Parti Generasi Baru Rajaretinam Armuggan mengumumkan hasratnya untuk bergabung dengan Pakatan Harapan, dengan menjanjikan bantuan kepada gabungan itu untuk memenangi sehingga 25 kerusi Parlimen yang BN menang dengan majoriti tipis.

Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy turut mengesahkan sedang melakukan rundingan dengan Pakatan Harapan untuk memastikan pakatan itu memenangi PRU14.

Sivarraajh yang juga Penyelaras Parlimen Cameron Highlands berkata semua inisiatif yang diperkenalkan kerajaan seperti MIB itu mampu mengangkat masyarakat India ke tahap lebih tinggi meliputi pendidikan, pekerjaan, sosioekonomi dan pemilikan ekuiti. 

Jelasnya, ini sekali gus meningkatkan kepercayaan dan sokongan masyarakat India kepada kerajaan dan BN serta menepis pujukan serta janji-janji retorik palsu daripada pembangkang.

“Saya percaya, pengundi masyarakat India khasnya pengundi muda akan lebih matang dalam politik negara dan konsisten untuk meletakkan kepercayaan kepada kerajaan sedia ada berbanding meletakkan harapan yang samar-samar kepada pembangkang,” katanya.

MIB adalah pelan transformasi strategik kerajaan BN untuk komuniti India bagi tempoh 10 tahun akan datang yang menggariskan dasar kerajaan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India menerusi suntikan dana dan modal dalam sektor pendidikan serta ekonomi.

-- BERNAMA