Mon01222018

LAST_UPDATEMon, 22 Jan 2018 8am

Akademi Badminton Malaysia Perlu Lebih Sistematik - Rosmah

KUALA LUMPUR -- Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mahu pengurusan Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara lebih sistematik dan terurus dalam melahirkan lebih ramai juara dunia dalam sukan itu. 

Rosmah yang juga penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata bagi tujuan itu tenaga pengajar di akademi tersebut disaran menjalankan kajian komprehensif dalam mengenal pasti kekurangan dan memperbaiki teknik permainan pemain untuk menjadi juara dunia. 

"Saya tengok tahap badminton di negara-negara lain telah meningkat. Itu salah satu perkara yang harus kita selidik dan membuat kajian mengapa mereka boleh menaik taraf dan bagaimana cara pemain badminton mereka sehingga boleh jadi juara.

 "Sebab itu melalui akademi ini, saya lihat kita ada potensi untuk meletakkan pemain kita ditahap terbaik dunia semula seperti sedia kala. Apa yang mustahak bukan akademi sebaliknya pemain mempunyai hati untuk menjadi juara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Liga Remaja Kebangsaan AirAsia BAM 2017 di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Rosmah mahu ibu bapa memberi dorongan sepenuhnya kepada anak-anak untuk menjadi yang terbaik dalam setiap aktiviti yang diceburi. 

Katanya usaha itu dapat membantu melahirkan lebih ramai generasi berguna dalam pelbagai bidang sekali gus membantu mengangkat nama Malaysia di mata dunia.

Pada majlis itu, Rosmah turut melancarkan lagu rasmi BAM bertajuk 'We are the champion' hasil ciptaan Datuk Wah Idris dan lirik oleh Presiden BAM Datuk Seri Norza Zakaria.

-- BERNAMA