Fri02232018

LAST_UPDATEFri, 23 Feb 2018 1pm

KDNK Malaysia Berkembang Didorong Oleh Penggunaan Swasta, FDI

KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang pada tahun ini, didorong oleh penggunaan swasta dan pelaburan langsung asing (FDI), selain turut dijangka meraih manfaat daripada perbelanjaan infrastruktur berskala besar yang berterusan. 

Dalam nota penyelidikan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Asset Management (M) Bhd (UOAMB), Lim Suet Ling berkata ini dijangka meningkatkan keyakinan pasaran dan menarik lebih banyak aliran pelaburan ke negara ini.

Beliau berkata ekonomi global dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pada 2018, disokong oleh keadaan makroekonomi yang semakin baik di pasaran maju dan pesat membangun.

“Ekonomi global terus berdaya tahan walaupun dengan langkah-langkah yang diambil oleh bank pusat global untuk menaikkan kadar faedah, sebahagian besarnya disebabkan oleh aliran pelaburan asing yang stabil ke AS, Jepun dan Kesatuan Eropah, serta penggunaan swasta yang lebih tinggi.

“Berdasarkan daya tahan ini, kami menjangka pertumbuhan ekonomi di negara maju menjadi lebih mantap dan meneruskan trajektori pertumbuhan mereka,” katanya.

Lim berkata apabila ekonomi di seluruh dunia semakin pulih daripada paras terendah pada 2016 dan meneruskan momentum pertumbuhan mereka, pelabur boleh menjangka ekuiti mencatat prestasi yang baik, susulan pasaran ekuiti lazimnya mengatasi prestasi kelas aset lain dalam kebanyakan keadaan ekonomi kecuali dalam tempoh kemelesetan.     

“Oleh itu, dalam persekitaran pertumbuhan yang positif seperti pada masa ini, ekuiti mungkin dianggap sebagai kelas aset yang menarik untuk pelabur. Bagaimanapun, walaupun dalam pasaran ekuiti yang meningkat, pelabur perlu berhati-hati dan memilih saham yang mempunyai asas yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, aset pendapatan tetap dijangka menghadapi tekanan pada tahun ini apabila kadar faedah dan kadar hasil mula meningkat yang boleh membawa kepada penurunan harga bon, yang akan memberi cabaran kepada kelas aset, termasuk bon kerajaan yang biasanya berisiko rendah.

Lim berkata di sebalik cabaran tersebut, persekitaran global semasa iaitu inflasi rendah dan pertumbuhan sederhana, sekuriti pendapatan tetap masih boleh mencapai pulangan positif yang stabil. 

“Walaupun sesetengah pelabur mempunyai toleransi risiko dalam menghadapi risiko ekuiti untuk memperoleh pulangan yang lebih tinggi, pelabur lain yang mempunyai toleransi risiko yang lebih rendah mungkin ingin mengekalkan pegangan bon mereka, yang dijangka masih dapat mengatasi prestasi tunai dalam jangka masa terdekat hingga sederhana,” katanya.

Lim berkata berdasarkan trend sebelum ini, bursa tempatan biasanya mendatar dalam tempoh sebelum pilihan raya umum, yang dijangka berlaku pada Mac tahun ini.

“Bagaimanapun, kami berpendapat kebanyakan daripada ketidakpastian ini telah berlalu dan ekuiti Malaysia berada di belakang ekuiti serantau lain pada suku akhir  2017. Oleh itu, kami yakin bahawa apa-apa yang tidak terjual daripada pilihan raya umum yang akan datang adalah  terhad .

“Trend sebelum ini turut menunjukkan keyakinan pelabur biasanya akan pulih selepas pilihan raya umum,” katanya.

Beliau berkata UOBAM turut optimis mengenai prestasi ekonomi Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang berdasarkan momentum pendapatan yang positif, harga minyak yang pulih, dan jangkaan ringgit lebih kukuh berbanding dolar US.

Beliau berkata bagi ekuiti, kumpulan itu mengutamakan ekuiti dari Asia, terutamanya China dan Korea Selatan serta memihak kepada sektor teknologi, termasuk bidang seperti pengkomputeran awan.

Peningkatan dalam penggunaan produk dan perkhidmatan teknologi seperti perkhidmatan penstriman video dan realiti bertambah akan membawa kepada permintaan yang lebih tinggi bagi infrastruktur awan dan perkhidmatan yang berkaitan, kata Lim.

Beliau berkata dengan teknologi yang menjadi semakin penting dalam kehidupan, sektor ini akan dapat mencapai pertumbuhan, walaupun dalam makroekonomi yang lebih luas. 

-- BERNAMA