Wed02212018

LAST_UPDATEWed, 21 Feb 2018 9am

MAHB Tak Bocor Rakaman Video Kes Kim Jong-nam

SHAH ALAM – Seorang kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kebocoran rakaman video berkaitan insiden pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) tiada kaitan dengan syarikat itu.

Pembantu Keselamatan MAHB, G.Shankar, 31, berkata syarikat itu tidak bertanggungjawab atas rakaman video yang diperoleh daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) klia2 yang disiarkan oleh stesen television Fuji TV di Jepun beberapa hari selepas kejadian bunuh itu berlaku.

Shankar yang menerima arahan untuk menyalin rakaman CCTV di klia2 ke dalam cakera video digital (DVD) oleh pegawai penyiasat, ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata, hasil siasatan polis mendapati rakaman itu bukan diperoleh daripada jabatannya.

Beliau yang menjawab soalan peguam Gooi Soon Seng yang mewakili tertuduh wanita warga Indonesia, Siti Aisyah ketika pemeriksaan balas, berkata pihak polis telah mengambil kenyataan daripada semua kakitangan jabatannya termasuk dirinya, namun tiada seorang pun pekerja MAHB yang didakwa berhubung insiden itu.

“Saya ada melihat video yang tular di Facebook. Polis telah mengesahkan video itu bukan daripada pihak MAHB,” katanya yang bekerja di MAHB sejak 12 tahun lepas.

Ketika menjawab soalan Gooi, Shankar bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa memang ada berlaku kebocoran, bagaimanapun beliau tidak bersetuju ia daripada ‘folder’ atau DVD yang dirakamnya kerana akses kepada folder dilindungi dengan kata kunci yang hanya diketahuinya.

Saksi ke-30 itu berkata, beliau tidak pernah mendedahkan kata kunci itu kepada mana-mana pihak.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi itu berkata bukan semua rakaman yang disalin daripada CCTV disiarkan oleh Fuji TV di Jepun tetapi hanya membabitkan sebahagian rakaman sahaja.

“Rakaman itu saya buat dalam enam keping DVD tetapi rakaman yang tersiar hanya dalam satu DVD sahaja,” katanya dalam perbicaraan kes Siti Aisyah, 26, dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam yang didakwa membunuh Kim Jong-nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, klia2, Sepang pada 9 pagi, 13 Februari 2017.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.

- Bernama