Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 8pm

MDEC Sedang Tingkatkan Perlindungan Ekosistem Siber Sekuriti

KUALA LUMPUR — Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam usahanya untuk melindungi dan meningkatkan ekosistem siber sekuriti, telah membuat rangkaian kerjasama antara peneraju industri British, Malaysia dengan institusi akademik tempatan.

Agensi itu hari ini bertukar-tukar perjanjian kerjasama dengan Protection Group International Ltd (PGI) dari United Kingdom dan Asia Pacific University of Technology (APU).

Pada majlis yang sama, APU bertukar dokumen kerjasama dengan penyedia penyelesaian sekuriti tempatan, TecForte. 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, berkata bidang siber sekuriti merekodkan kekurangan bakat seramai lebih satu juta di seluruh dunia, dan terdapat 3,000 jawatan kosong dalam siber sekuriti Malaysia.

Kerjasama antara penggiat industri dan akademik akan dapat mengenal pasti jurang dalam industri bagi membangunkan set kemahiran yang kritikal oleh pihak akademik. 

"Ini juga akan membantu meningkatkan bakat-bakat industri siber sekuriti dan melahirkan profesional-profesional yang berpendapatan tinggi," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran perjanjian-perjanjian berkaitan di sini hari ini.

Turut  hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Vicki Treadell.

Katanya, profesional siber sekuriti memperoleh pendapatan 20 peratus lebih tinggi dari saingan mereka dalam sektor teknologi maklumat.

Yasmin yang memetik laporan Linkedln pada Dis 2017 mengenai bakat siber sekuriti di Malaysia, memberitahu hanya 21 peratus daripada mereka yang mempunyai pengalaman mencecah empat tahun.

"Bagaimanapun, sesuatu yang positif daripada kajian tersebut apabila ia menyatakan 21 peratus daripada tenaga kerja siber sekuriti Malaysia merupakan wanita, berbanding 11 peratus di Amerika Syarikat," katanya. 

Yasmin berkata kerjasama seperti ELITE - inisiatif bantuan pendidikan oleh MDEC dalam kerjasamanya dengan APU serta TecForte dan program bakat MDEC , "Platform for Real Industry Driven Project Exchange" akan meningkatkan kesediaan industri siswazah-siswazah ini.

"Pelajar-pelajar  akan didedahkan kepada analisis masa sebenar, perisikan ancaman global serta ancaman  global perisikan dan rangka kerja pengendalian  insiden dalam persekitaran kampus," katanya. 

Sementara itu, Treadell berkata, syarikat-syarikat British telah melabur kira-kira RM240 juta dalam industri berkaitan digital di Malaysia pada 2016, dan pelaburan itu dijangka bertambah pada tahun ini.

"Pada Jun 2016, UK dan Malaysia telah menandatangani satu memorandum persefahaman untuk bersama-sama menggalakkan penggunaan penyelesaian ekonomi digital.

"Pertukaran perjanjian hari ini membuka satu dimensi baru kepada kerjasama kami, memandangkan kami akan melihat industri teknologi UK dan pihak akademik Malaysia berganding bahu," katanya. 

Treadell berkata, perjanjian itu akan membantu menangani jurang dalam kemahiran siber yang perlu untuk pembangunan sektor teknologi dan menggalakkan penyelidikan siber antara Britain dan institusi di rantau ini.

BERNAMA