Wed02212018

LAST_UPDATEWed, 21 Feb 2018 9am

Kerosakan Jalan Dibaiki Sebelum Tahun Baharu Cina - Fadillah

Foto fail: BernamaFoto fail: BernamaKUCHING: Kerja-kerja membaiki kerosakan kritikal di beberapa tempat sepanjang projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini dijangka selesai sebelum cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Menteri  Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau telah mengarah kontraktor berkenaan membaiki kerosakan tersebut dan meletakkan lebih banyak papan tanda dan memasang pencahayaan. 

"Sasaran  kita ialah untuk menyelesaikannya sebelum cuti perayaan Tahun Baharu Cina. Kita baiki semua yang kritikal dahulu tapi semuanya bergantung kepada keadaan cuaca. Saya memantau laporan setiap pagi," katanya kepada Bernama.

Beliau turut menunjukkan foto-foto keadaan jalan yang telah dibaiki semasa ditemui selepas Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo di sini hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja membaiki kerosakan kritikal turut diberi tumpuan di jalan kawasan Selangau (Bahagian Sibu) dan Tatau (Bahagian Bintulu).

Menurutnya, kerosakan jalan itu berlaku kerana kenderaan yang menggunakan  jalan raya tersebut terlalu berat ditambah pula dengan cuaca hujan sekarang dan ada tempat ditenggelami air akibat banjir.

Sehubungan itu, beliau menasihat pengguna supaya bersabar dan sentiasa berhati-hati semasa memandu sementara menunggu pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang dijangka siap 2021 yang akan menyediakan kemudahan jalan raya yang lebih baik kepada rakyat negeri ini.

-BERNAMA