Sun02182018

LAST_UPDATESat, 17 Feb 2018 10pm

Najib Dijangka Rasmi Perhimpunan Agung PBB Ke-14 Esok

Foto: BernamaFoto: BernamaKUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, esok.

Sebagai parti tunjang kepada kekuatan Barisan Nasional (BN) Sarawak, perhimpunan tiga tahun sekali itu dilihat amat penting dalam kesiapsiagaan anggota dan jentera parti dalam menghadapi Pilihan  Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pada PRU 2013, BN memenangi 25 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dengan PBB berjaya mengekalkan kesemua 14 kerusi yang dipertandingkan. Lima kerusi ditawan oleh DAP dan satu oleh PKR.

Setiausaha Jawatankuasa Penerangan dan Publisiti PBB, Datuk Peter Minos berkata Najib, selaku Pengerusi BN, dijangka akan menyentuh isu perpaduan dalam parti komponen BN negeri, dakyah pembangkang serta isu ekonomi.

Selain itu, beliau berkata perhimpunan parti itu juga akan mengesahkan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Tun Openg sebagai Yang Dipertua PBB serta dua Timbalan Yang Dipertua parti, Datu Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Uggah dan Awang Tengah masing-masing adalah Timbalan Ketua Menteri Sarawak. 

Esok akan turut diadakan pemilihan bagi empat  jawatan naib presiden untuk sayap Bumiputera, yang akan ditanding oleh tujuh calon, iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof, Datu Julaihi Narawi, Datuk Abdul Karim Hamzah, Dr Abdul Rahman Ismail, Annuar Rapaee, Datuk Len Talif dan Datuk Abdul Rahman Junaidi.

Fadillah melepaskan jawatan Ketua Pemuda PBB dan digantikan oleh Gerald Rentap Jabu.

Dalam pada itu, Fadillah, dalam ucapan perasmian mesyuarat pergerakan Wanita dan Pemuda hari ini menggesa supaya Pemuda parti itu memastikan kemenangan besar BN pada PRU14.

Katanya, memandangkan ini merupakan kali pertama Abang Johari memimpin pilihan raya besar sebagai Ketua Menteri, Pengerusi BN negeri serta Yang Dipertua PBB, maka adalah wajar pengundi memberi kemenangan besar kepada BN Sarawak.

-BERNAMA