Fri02232018

LAST_UPDATEFri, 23 Feb 2018 1pm

Tindakan Serius Kepada Ahli Langgar Peraturan

PETALING JAYA - Bersatu mengambil pendekatan serius kepada ahli yang melanggar peraturan parti.

Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, lembaga disiplin parti kini sedang mengenal pasti ahli yang dilihat ingin mensabotaj parti terutama dengan mengadakan sidang media tanpa kelulusan serta membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Lembaga disiplin parti kini sedang tangani hal berkaitan isu bantahan atau kegiatan mensabotaj parti dalam kalangan ahli.

“Mana-mana ahli melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan parti akan diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin," katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, ahli yang dilihat melanggar peraturan parti akan berdepan hukuman atau dipecat, termasuk lah membangkitkan isu ketidakpuasaan melalui media sosial khususnya Facebook.

"Apa-apa bantahan dan kenyataan yang bertujuan mensabotaj parti akan diambil tindakan oleh lembaga disiplin.

“Meskipun tidak puas hati dengan Bersatu, tidak perlu rasanya menggunakan saluran sedemikian," katanya.

Kamaruddin berkata, ahli parti perlu menggunakan platform yang betul dalam mengutarakan bantahan dan aduan mengenai parti.

"Saya nak ingatkan ahli parti, ikut saluran betul untuk sampaikan bantahan atau rasa tidak puas hati kepada pucuk pimpinan parti.

"Sehingga kini lembaga disiplin memecat tiga anggota parti atas pelbagai kesalahan antaranya mencela dan menyelar pimpinan," katanya.

Kelmarin satu sidang media diadakan oleh beberapa ahli parti itu di Kota Bharu bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kekangan yang dihadapi parti termasuk isu pembahagian kerusi Dun.

Mengulas dakwaan itu Ketua Bersatu Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman berkata, sidang media tersebut dijalankan tanpa pengetahuan dan persetujuannya selaku ketua bahagian dan tindakan ini dilihat sebagai agenda menjatuhkan parti.

Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, isu yang cuba dibangkitkan seperti perebutan kerusi tidak wajar kerana ia belum dimuktamakan.

Abd Rashid juga turut menafikan segala dakwaan yang dibuat pada sidang media tersebut.

-Sinar Harian