Sun02252018

LAST_UPDATESat, 24 Feb 2018 9pm

Kerajaan Prihatin Masalah Pengedar Proton

KUALA LUMPUR: Kerajaan prihatin dengan masalah yang dihadapi semua pengedar dan vendor Proton termasuk bumiputera memandangkan perniagaan dalam sektor automotif amat mencabar.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dalam tempoh terdekat dengan wakil-wakil dan persatuan pengedar sebelum mengambil sebarang keputusan termasuk mengenai isu dana yang dihadapi pengedar-pengedar berkenaan.

Katanya, kerajaan juga amat memahami hasrat Proton yang mahukan para pengedarnya menaik taraf daripada pusat jualan 1S kepada 3S atau 4S (Jualan, Alat Ganti, Servis dan Survei) bagi membolehkan mereka bersaing dalam industri automotif.

“Secara dasarnya, saya sering berjumpa mereka dari semasa ke semasa dan kali ini saya akan jumpa mereka (termasuk pengedar dan vendor) dalam masa terdekat. Untuk pengedar pula, saya dah lama tak jumpa, cuma ada melalui surat dan menemui beberapa pengedar secara individu. Tetapi persatuan pengedar belum jumpa lagi.

“Dalam masa sama, kita akui cabaran yang dihadapi oleh mereka dan kita (kerajaan) tahu mengenai cabaran-cabaran ini. Sudah pasti, dalam isu ini, kerajaan amat ambil berat kerana kita mahu sama ada mereka yang jual kereta Proton atau komponen menjadi usahawan yang berjaya walaupun perniagaan ini banyak cabarannya.

“Mana-mana transformasi atau penambahbaikan yang dijalankan sudah tentu ada yang terkesan, ia sama seperti yang dihadapi oleh industri automotif,” katanya selepas majlis perasmian Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 dan Permohonan Atas Talian ‘MySMEBank’.

Yang turut hadir, Pengerusi SME Bank, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir dan Ketua Pegawai Operasi, Operasi dan Pengurusan Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Razman Mohd. Noor.

Semalam, Proton dalam kenyataannya menegaskan mat­la­matnya adalah agar pengedar-pengedar keretanya ber­kembang se­iring dengan langkah pembaharuan syarikat dan bukan mem­bebankan mereka apabila mewajibkan penukaran kepada 3S atau 4S.

DRB-Hicom memiliki 50.1 peratus dalam Proton dan 49.9 peratus oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. Suntikan ekuiti itu menyaksikan syarikat baharu ditubuhkan iaitu Proton Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB) yang kini diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Li Chunrong dan Timbalannya, Datuk Radzaif Mohamed.

Walaupun menjawab kesemua sembilan isu yang dikemukakan Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Rahman dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu, namun Proton mengakui dana yang besar diperlukan untuk naik taraf berkenaan.

Menurut Zainudin, pengedar perlu melabur antara RM3 juta hingga RM5 juta sedangkan jualan kereta Proton sekarang secara purata yang dapat dijual hanya sekitar 20 hingga 30 buah sebulan.

Tegas Zainudin, sekiranya tiada sebarang tindakan diambil dalam masa terdekat, lebih ba­nyak pengedar dan vendor akan menutup perniagaannya dalam tempoh lima hingga enam bulan kerana tertekan dengan syarat-syarat yang dikemukakan pe­ngurusan baharu Proton.

Antara faktor yang mendorong kepada penambahbaikan itu memandangkan sehingga kini 70 peratus pengedarnya di seluruh negara bersifat 1S dan ini telah menjejaskan imej Proton dari segi Indeks Kepuasan Jualan (SSI) dan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI).

Pengedar digalakkan menaik taraf pusat jualan mereka dalam tempoh antara 2018 hingga 2020. Sasaran 2018 ialah untuk mening­katkan dengan banyak pusat 3S di seluruh negara, seiring dengan pengenalan model baharu SUV Proton pada akhir tahun ini.

Ditanya mengenai isu dana, Mustapa bagaimanapun berkata, kerajaan hanya akan membuat keputusan selepas perjumpaan tersebut diadakan.

“Biar saya jumpa mereka dahulu dan selepas itu kita akan maklumkan apa yang kerajaan boleh lakukan,” katanya.

- Utusan Online