Sun02252018

LAST_UPDATESat, 24 Feb 2018 9pm

Bapa Didakwa Dera Bayi Perempuan Enam Bulan

Foto: Utusan OnlineFoto: Utusan Online

TAIPING: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mendera bayi perempuannya berusia enam bulan awal bulan ini.

Tertuduh, Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd. Razak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendera anak keduanya, Nur Kayra sehingga mengalami kecederaan pendarahan dalam otak di sebuah rumah di Kampung Paya Baru, Kamunting di sini pada pukul 3 petang 2 Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 21 Mac depan.

- Utusan Online