Thu05242018

LAST_UPDATEWed, 23 May 2018 11pm

Gabungan Global Berikrar Sekat Perkembangan Pengaruh Daesh

Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.

KUWAIT CITY -- Gabungan Global Menentang Daesh, yang merupakan kerjasama antarabangsa bagi menghapuskan keganasan, berikrar untuk menyekat peningkatan jumlah pengganas dan dana yang membiayai kumpulan militan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, berkata perkara itu amat dititikberatkan dan sentiasa menjadi perhatian pihak Gabungan Global.

“Sememangnya terdapat pasukan khas yang memantau dan mengenal pasti kumpulan ini dengan khidmat nasihat daripada pakar-pakar negara anggota,” katanya dalam sidang media selepas penutupan Mesyuarat Peringkat Menteri Gabungan Global Menentang Daesh di Istana Bayan di sini pada Selasa.

Mesyuarat itu diadakan sempena Persidangan Antarabangsa Kuwait Untuk Pembangunan Semula Iraq (KICRI) yang berlangsung tiga hari mulai Isnin.

Gabungan Global Menentang Daesh ditubuhkan pada September 2014 berikutan kebimbangan dunia terhadap Daesh serta ancamannya kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Ia dianggotai 71 negara termasuk Malaysia dan empat institusi iaitu Liga Arab, Interpol, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta Kesatuan Eropah.  

Mengulas lanjut, Khaled berkata mesyuarat itu adalah kesinambungan mesyuarat sebelum ini bagi menggerakkan usaha antarabangsa dalam pelbagai aspek untuk memerangi Daesh.

“Mesyuarat ini juga telah meletakkan beberapa garis panduan iaitu menyekat pembiayaan kumpulan itu dan mengekang kemasukan pengganas asing (ke setiap negara).

“Selain itu, Gabungan Globalisasi juga akan menyelaras perhubungan dalam kalangan negara anggota bagi melemahkan keupayaan Daesh menyebarkan fahaman, propaganda dan menghalang usaha merekrut anggota baharu kumpulan tersebut serta menyekat penggunaan internet dan media sosial,” katanya.

Pada Selasa, Amerika Syarikat berjanji memberi dana sebanyak US$200 juta untuk membantu usaha Gabungan Global memerangi Daesh serta menghalang mereka kembali semula ke Syria dan Iraq.

-- BERNAMA