Mon02262018

LAST_UPDATEMon, 26 Feb 2018 8am

Obama Akan Berucap Dalam Majlis Tertutup Di Singapura

Barack ObamaBarack Obama

SINGAPURA – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama akan berada di Singapura pada 19 Mac ini untuk berucap di majlis tertutup anjuran Bank of Singapore, menurut laporan Channel NewsAsia.

Ia akan menjadi kehadiran kali pertama presiden ke-44 AS itu ke Singapura selepas meninggalkan​​​​​​​ White House pada Januari tahun lepas, menurut laporan tersebut.

Memetik Ketua Pegawai Eksekutif, Bank of Singapore, Bahren Shaari, laporan itu berkata, Obama akan berucap di hadapan 1,000 pelanggan terpilih dan tetamu jemputan.

“Selama lapan tahun, Obama merupakan individu paling berpengaruh di dunia, dan daripada perspektif unik ini, beliau akan berucap mengenai masa depan ekonomi global, serta peranan Asia yang semakin berkembang.

“Sebagai sebahagian daripada usaha melibatkan pelanggan kami, kami sentiasa mencari peluang​​​​​​ istimewa supaya pelanggan kami memperolehi prespektif yang menarik daripada pemimpin dunia dalam bidang seperti kewangan, ekonomi dan pelaburan,” katanya dipetik sebagai berkata.

Menurut laporan itu, personaliti terkenal yang telah berucap dalam acara Bank of Singapore sebelum ini termasuk penerima Hadiah Nobel, Profesor Joseph Stiglitz dan Paul Krugman, selain Ahli Fizik Teori dan Futuris, Dr Michio Kaku.

-- BERNAMA