Mon02262018

LAST_UPDATEMon, 26 Feb 2018 8am

Kisah Si Angsa Biseksual Yang Terperangkap Dalam Cinta Tiga Segi, Mati Pada Usia 40 Tahun

Thomas (angsa putih) bersama dengan Henry, Henrietta dan anak-anak angsa/Foto: Wellington Bird Rehabilitation TrustThomas (angsa putih) bersama dengan Henry, Henrietta dan anak-anak angsa/Foto: Wellington Bird Rehabilitation Trust

Kisah cinta Cinderella atau Jack (Leonardo DiCaprio) dan Rose (Kate Winslet) dalam filem Titanic sentiasa menjadi sebutan ramai, walaupun mungkin percintaan romantik pasangan berkenaan sukar ditemui dalam kehidupan nyata.

Tetapi itu dalam kehidupan manusia, namun kali ini adalah kisah sayu Thomas, seekor angsa dari Waikanae, New Zealand yang terperangkap dalam cinta tiga segi, namun mengambil keputusan untuk membantu kekasihnya membesarkan anak-anak.

Sedihnya, Thomas – seekor angsa lelaki biseksual yang buta dan cukup terkenal dalam kalangan penduduk di New Zealand, telah dilaporkan mati pada usia 40 tahun, pada 6 Februari lalu.

“Dengan berat hati, kami mengumumkan pemergian angsa buta tercinta kami, Thomas.

“Thomas, dalam hampir 40 tahun hayatnya, telah memberi impak kepada ramai orang dan kehidupan mereka. Sepanjang kami menjaga, menyayangi dan melindunginya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Thomas pada awalnya berkawan dan terkenal dalam kalangan penduduk Waimanu Lagoon di Waikanae, yang memerhatikannya lebih 25 tahun,” tulis Wellington Bird Rehabilitation Trust (WBRT) di laman Facebook mereka.

Tidak ramai yang mengetahui kisah Thomas – yang jatuh cinta dengan seekor angsa jantan hitam bernama Henry dan menghabiskan hidup dengan kekasihnya itu selama lebih 24 tahun.

Namun, ‘kebahagiaan’ Thomas tergugat selepas Henry mula tertarik dan jatuh hati dengan seekor angsa betina bernama Henrietta.

Walaupun Henry menemui cinta baharunya, itu tidak menghalang Thomas untuk kekal teguh dan setia, malah bukan cuba melupakan Henry dan mulakan hidup baharu, namun ‘dia’ memilih untuk bersama-sama membantu pasangan baru itu membesarkan 68 ekor anak angsa, selama lebih 12 tahun.

Hubungan rumit itu menjadikan Thomas selebriti tempatan, apabila ramai pemerhati burung sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk menyaksikan kisah percintaan tidak terungkap itu.

Tetapi kebahagiaan Thomas berakhir selepas Henry mati pada tahun 2009 dan Henrietta pergi bersama seekor angsa lain, meninggalkan ia sendirian.

Ia kemudian menjadi bapa kepada bayinya sendiri, namun mereka dicuri oleh angsa lain yang digelar sebagai George.

Pada tahun 2003, Thomas dibawa ke Wellington Bird Rehabilitation Trust atas faktor kesihatan yang semakin merosot. Matanya mula buta sebelah dan akhirnya kedua-dua belah matanya tidak lagi dapat melihat.

“Kami menyayangi Thomas sebagai sebahagian daripada Keluarga WBRT dan telah melayan ia dengan perasaan cinta dan penjagaan yang istimewa.

“Ia hidup untuk jagung dan jika kami meletakkan ia semula dalam ‘rumahnya’ pada waktu malam, Thomas tidak gembira!,” kata organisasi tersebut.

Tambahnya, “Selain menghabiskan masa bersama burung-burung buta lain, Thomas membantu pasangan  itu membesarkan anak-anak angkatnya (atas sebab-sebab nostlagia dan lelaki, ia buat kerja yang baik!).”

Organisasi, yang menjaga lebih 400 ekor buraung setahun berkata, Thomas telah membuktikan bahawa terdapat ‘kehidupan yang lebih luas’.

“Kamu adalah inspirasi sebenar untuk kerja-kerja kami dan perkara-perkara yang kami capai untuk haiwan yang dalam penjagaan kami.

“Thomas, kawan baik kami, kami merindui kamu sepenuh hati tapi semoga kamu bersemadi dengan tenang,” katanya.

- mD