Mon05212018

LAST_UPDATEMon, 21 May 2018 8am

Peniaga Didakwa Cederakan Dan Ugut Jiran Serta Rosakkan Motosikal

KUALA LUMPUR -- Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu mencederakan jirannya, mengugut dan merosakkan motosikal kakak jirannya, sembilan hari lepas.

Hendrizal Metrizal, 30, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Junaidi Syarifuddin, 16, seorang pelajar, di Kg Ampang Campuran, Hulu Langat, di sini pada 10 malam, 5 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Hendrizal didakwa telah melakukan ugutan jenayah  terhadap kakak Junaidi, Rosmainoor, 22, pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut dituduh telah melakukan khianat dengan merosakkan motosikal jenis Yamaha kepunyaan Rosmainoor pad waktu, tempat dan tarikh sama dam didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika disabitkan bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap satu pertuduhan namun tertuduh yang diwakili peguam Nik Mohamad Anuar Badiruddeen memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh tidak berkemampuan kerana mempunyai pendapatan yang kecil.

Firdaus membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan mencederakan dan masing-masing RM2,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan mengugut dan melakukan khianat.

Mahkamah menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA