Mon05212018

LAST_UPDATEMon, 21 May 2018 8am

Kaum Cina Sumbang Peranan Penting Dalam Pembinaan Negara - Najib

KUALA LUMPUR –  Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merakamkan penghargaan beliau terhadap komuniti Cina yang melaksanakan peranan penting dalam pembinaan negara sejak merdeka.

Perdana menteri berkata sumbangan mereka yang amat banyak itu jelas kelihatan di segenap pelosok negara, sama ada dari segi budaya atau ekonomi.

"Sememangnya Malaysia adalah tanah air kepada semua, dan kita semua telah melaksanakan peranan penting dalam membina negara yang hebat ini, terutamanya saudara kita daripada kaum Tionghua, begitu juga dengan anak-anak Malaysia daripada komuniti Cina," kata  Najib dalam Perutusan Tahun Baharu Cina 2018 menerusi blog beliau hari ini.

Najib turut menegaskan komitmen  beliau dalam memastikan  tiada rakyat  Malaysia yang akan ketinggalan.

"Saya komited untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan, bahawa masa depan anak-anak kita akan lebih baik daripada kita dan kita akan semakin teguh serta seiring sebagai satu bangsa,” tegas beliau.

Najib berkata di Malaysia, perayaan keagamaan dan kebudayaan merupakan sambutan yang menggembirakan bukan hanya kepada kelompok tertentu masyarakat, sebaliknya disambut oleh semua.

“Mungkin makanan, budaya dan tawa ria yang menyatukan kita dalam sambutan perayaan seperti Tahun Baharu.

"Namun saya percaya ia telah tertanam di dalam diri kita sejak merdeka. Kita hidup penuh  harmoni sebagai satu bangsa tanpa mengira kaum dan kepercayaan. Ia telah menjadi satu cara hidup dan saya percaya keakraban antara kita ini  merupakan semangat sejati 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata sambutan ini merupakan peringatan yang sempurna tentang kepelbagaian budaya dan kepercayaan  yang menjadikan kita rakyat Malaysia.

"Kepelbagaian tradisi dan perspektif kita yang begitu luas, wadah tumpuan kita, menjadikan kita begitu unik, segar dan dinamik,” katanya.

Najib berkata sambutan Tahun Baharu merupakan perayaan penting bagi komuniti Cina berlatarkan  sejarah sejak beribu-ribu tahun lalu, satu perayaan yang begitu kaya dengan tradisi, bermula dengan perjalanan pulang untuk menyertai makan malam bersama-sama orang tua dan anggota keluarga pada malam ambang Tahun Baharu.

"Penekanan yang tinggi diberi pada tradisi berhimpun bersama-sama keluarga semasa perayaan ini kerana ia terus menyemai dan memupuk bukan hanya nilai-nilai ketaatan  dan menghormati generasi akan datang dalam diri anak-anak,  tetapi juga memperkuatkan hubungan seseorang itu dengan rakan taulan serta kaum keluarga," katanya.

Beliau berkata tradisi ini, yang telah diamalkan dari generasi ke generasi selama beribu-ribu tahun, sememangnya  merupakan adat yang dihormati dan melambangkan konsep berkumpul untuk  kesatuan,

"Sambil kita mengucapkan selamat tinggal kepada Tahun Ayam dan bersedia untuk menyambut kedatangan Tahun Anjing, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua yang meraikannya - selamat menyambut tahun baharu yang sejahtera dan makmur, Xin Nian Kuai Le!" kata Najib.

-- BERNAMA