Thu05242018

LAST_UPDATEWed, 23 May 2018 11pm

Melaka Cadang Penempatan Khas Buruh Asing

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka bercadang mewujudkan penempatan khas lengkap dengan sistem kawal selia yang lebih sistematik bagi buruh asing yang bekerja di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, penempatan berkenaan perlu dilengkapi dengan sistem keselamatan berpagar dan berpengawal bagi memastikan keselamatan buruh tersebut.

Beliau berkata usaha itu bertujuan mengawal pergerakan buruh asing selain memastikan penempatan yang lebih teratur serta mengekang aktiviti sosial yang melibatkan golongan tersebut.

"Kira-kira 80,000 pekerja asing atau buruh asing yang mempunyai permit direkodkan berada di negeri ini yang bekerja dalam pelbagai sektor dan terdapat keperluan untuk memastikan penempatan mereka lebih tersusun dan sistematik.

"Walaupun isu sosial atau jenayah melibatkan buruh asing di negeri ini tidak serius namun langkah berkenaan akan memberi manfaat kepada penduduk setempat dan membantu kita mengekang pelbagai isu atau masalah melibatkan buruh asing ini di peringkat awal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata perkara tersebut akan dibincangkan secara lebih lanjut dengan pihak majikan kepada pekerja asing di negeri ini dan ia akan diselia Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ismail Othman serta Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan NGO negeri M.S Mahadevan.

Katanya, satu forum khas dikendalikan pihak berkuasa tempatan di negeri ini juga akan diadakan bagi memberi penjelasan terhadap cadangan perlaksanaan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata semua kerja-kerja pengorekan jalan di negeri ini khususnya melibatkan jalan raya telah diarah berhenti sementara sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina pada 9 Feb lepas hingga 23 Feb depan.

Beliau berkata langkah tersebut bertujuan memastikan perjalanan trafik di sekitar negeri ini berjalan lancar dan tidak menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan raya.

"Sekiranya orang ramai melihat atau berdepan dengan kerja-kerja pengorekan jalan, boleh membuat aduan kepada kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya," katanya.

- Bernama