Sun05202018

LAST_UPDATESun, 20 May 2018 4pm

Tangkis Dakwaan Pembangkang – Najib

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dakwaan konon­nya Malaysia sebuah negara bankrap atau perlu diselamatkan adalah satu penipuan untuk menghasut rakyat semata-mata.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus pada tahun lalu membuktikan negara ini diuruskan dengan baik dan berada pada landasan ekonomi yang berjaya.

Malah kata beliau, badan-badan penarafan antarabangsa seperti Bank Dunia, Forum Ekonomi Dunia dan Bloomberg mengatakan Malaysia berada pada landasan ekonomi yang berjaya serta berkembang ke tahap kekuatan lebih baik.

“Ini kesimpulan yang dibuat oleh badan-badan penarafan dunia. Bukan dikatakan pemimpin pembangkang, ini bukan pemim­pin parti 'bunga' yang cakap.

“Ini adalah pakar ekonomi dunia yang kata bahawa Malaysia ini ekonominya diuruskan dengan begitu baik dan semakin berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Kongsi Kasih sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang dihadiri kira-kira 3,700 masyarakat pelbagai kaum di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; pemimpin-pemimpin setempat dan UMNO Bahagian Pekan.

Ekonomi Malaysia dilaporkan mencatat pertumbuhan 5.9 peratus pada 2017, melepasi unjuran yang dibuat kebanyakan penganalisis termasuk Bank Dunia.

Pertumbuhan itu lebih tinggi berbanding 4.2 peratus dan lima peratus yang dicatatkan masing-masing pada 2016 dan 2015.

Pada suku keempat 2017, Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang 5.9 peratus, berbanding 4.5 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, Malaysia sebuah negara yang terus berjaya dengan kejayaan dinikmati segenap lapisan rakyat.

“Malaysia ini dari sehari ke sehari semakin berjaya dan sema­kin tinggi pendapatan negara kita,” katanya.

- Utusan Online