Thu05242018

LAST_UPDATEWed, 23 May 2018 11pm

Sindiket Forex Tipu 70,000 Pelabur RM1 Bilion

KUALA LUMPUR: Tipu wang milik 70,000 pelabur dianggarkan lebih RM1 bilion.

Itu kegiatan satu sindiket pelaburan berasaskan Forex atau dikenali sebagai Fx United yang didalangi lima individu termasuk sepasang suami isteri sejak 2013.

Sindiket itu licik memperdaya mangsa dengan mempromosikan pelaburan dengan nilai minimum RM3,000 sehingga RM100,000 me­lalui laman web yang menawarkan pulangan lumayan sebanyak 12 pera­tus setiap bulan serta mengadakan seminar pelaburan di hotel.

Malah, suspek juga meyakinkan pelabur dengan menggunakan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain membabitkan penganjur atau pengurusan atasan yang bergelar Datuk.

Bagaimanapun, kegiatan me­re­ka terbongkar apabila lebih 116 mangsa yang telah kerugian RM6.2 juta selepas tidak mendapat pulangan pelaburan yang dijanjikan membuat laporan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, pihaknya telah menahan tiga individu bergelar Datuk berusia antara 35 hingga 49 tahun dalam serbuan serentak di empat premis sekitar ibu negara pada Sabtu lalu.

Menurutnya, pihak polis turut merampas 13 kereta mewah, tiga motosikal berkuasa tinggi, 10 ke­tul emas seberat 100 gram setiap satu, pingat penganugerahan Datuk, pelbagai dokumen dan beg serta jam tangan berjenama.

“Aset milik suspek iaitu banglo bernilai RM5 juta, kereta Ferrari bernilai RM1.5 juta serta 38 akaun bank berjumlah RM624,000 milik 17 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dibekukan. Kesemua aset dan barangan tersebut dianggarkan bernilai RM10.5 juta.

“Kesemua suspek ditahan me­ngikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Ke­seksaan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amar Singh memberitahu, pihaknya kini mem­buru sepasang suami isteri yang juga merupakan suspek utama pelaburan terbabit dan dipercayai telah melarikan diri serta bersembunyi di negara jiran pada Ahad lalu sebaik sahaja serbuan dilakukan.

“Mereka ialah Datuk M. Pande­yan, 55, dan iste­rinya, Datin Gouri C. Faskuny, 56. Kita minta sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terjebak dengan pelbagai tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh masa singkat. Sesiapa yang menjadi mangsa penipuan sindiket ini kita minta tampil membuat laporan polis bagi tindakan lanjut,” ujarnya.

- Utusan Online