Mon02262018

LAST_UPDATEMon, 26 Feb 2018 8am

Petronas Sprinta Racing Berwajah Baharu

SEPANG: Semangat baharu mengiringi pasukan Moto3 negara Petronas Sprinta Racing Team yang kini membawa imej lebih segar dengan gabungan warna hitam dan hijau pada sut pelumba serta jentera pasukan menjelang kejohanan musim 2018 yang bakal membuka tirai di Qatar Mac ini.

Pasukan yang merupakan cantuman kerjasama antara Petronas dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu dan diterajui Johan Stigefelt telah memperkenalkan wajah baharu mereka kepada media hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, dengan warna yang lebih segar berbanding musim lalu, diharapkan semangat yang dibawa pelumba Moto3, Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki turut diperbaharui.

“Saya berharap dengan kerjasama Petronas ini, pelumba akan lebih bersemangat untuk buat lebih baik.

“Semuanya dah cantik, kita kena menang pula,” katanya kepada pemberita dalam majlis memperkenalkan jentera baharu Petronas Sprinta Racing Team di sini, hari ini.

Menurut Razlan, sebagai pelumba Malaysia, tanggungjawab lebih berat bakal digalas Adam yang perlu menempatkan dirinya dalam kelompok 10 terbaik bagi musim 2018.

Jelasnya, begitu juga dengan Ayumu, pasukan turut meletakkan sasaran sama terhadap pelumba kelahiran Jepun itu.

“Saya juga berharap Adam dapat mencatat keputusan podium dan sekiranya dia berjaya melakar pencapaian cemerlang, saya tidak teragak-agak untuk menaikkan dia ke kelas Moto2 bergandingan dengan Zulfahmi untuk musim 2019,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abdul Rahman memberitahu, kerjasama dengan SIC diharap dapat membantu usaha Petronas dalam melahirkan lebih ramai bakat muda menyertai kejuaraan motosikal dunia.

- Utusan Online