Mon02262018

LAST_UPDATEMon, 26 Feb 2018 8am

Ke Mana Hala Tuju Mata Wang Kripto?

Seiring dengan perkembangan teknologi terkini, mata wang juga tidak lari daripada terkena tempias arus globalisasi. Setakat September 2017, terdapat lebih 1,100 mata wang digital yang wujud.

Bitcoin, litecoin, peercoin dan stellar antara yang aktif didagangkan ketika ini. Terbaharu, Venezuela memperkenalkan sistem mata wang digital yang dikenali sebagai petro dalam usahanya memerangi sekatan kewangan Amerika Syarikat (AS).

Sejak 2016, mata wang Venezuela, Bolivar jatuh merosot sehingga 95.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pasaran gelap.

Mata wang digital sememangnya tidak asing lagi di Venezuela, malah negara berkenaan dianggap sebagai lokasi utama pengeluaran bitcoin dengan kos minimum.

Persoalannya di sini, mampukah mata wang digital diiktiraf sebagai mata wang yang sah? Penggunaan secara sah bermaksud ia berupaya melindungi penggunanya jika berlaku sebarang pertikaian atau kerugian.

Adakah mata wang kripto itu boleh digunakan dalam transaksi urus niaga harian seperti membeli nasi lemak atau membayar bil dalam tempoh 10 tahun akan datang?

Bagaimana pula dari segi halal haram? Prinsip syariah berkenaan mata wang dikenali sebagai hukum al-sarf atau pertukaran mata wang dengan mata wang. Para sarjana dan agensi syariah di seluruh dunia dan Malaysia masih lagi melakukan kajian terhadap kedudukan mata wang digital dalam kerangka pemikiran serta minda syariah

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), Malaysia menyaksikan transaksi sebanyak RM75 juta sebulan diproses melalui platform mata wang digital setakat Disember 2017.

Semalam, Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran kepada para pelabur bitcoin dan mata wang kripto lain berpotensi untuk kehilangan semua wang yang dilaburkan mereka. Peningkatan nilai mata wang digital itu adalah gelembung yang boleh pecah pada bila-bila masa.

Bitcoin yang mula diperkenalkan di dunia pada 2009, menarik perhatian tertinggi tahun ini selepas harganya meningkat 1,500 peratus sejak awal tahun. Kenaikan drastik itu mengundang kritikan oleh ramai pakar ekonomi, yang berkata ia hanya satu gelembung yang bakal runtuh kerana tidak mempunyai sebarang nilai sebenar seperti mata wang fiat atau emas.

Dan ternyata kritikan itu tepat apabila Bitcoin telah kehilangan hampir separuh daripada nilai pada tahun ini susulan kerajaan di seluruh dunia mengancam mewujudkan kawalan ketat di pasaran yang tidak terkawal itu.

Kejatuhan harga yang dramatik itu digambarkan sebagai ‘cryptopocalypse‘ dan ‘bloodbath‘. Mata wang maya atau Virtual Currency (VC) adalah tertakluk kepada naik turun harga yang melampau dan telah menunjukkan tanda-tanda jelas harga gelembung.

Pengguna yang membeli VC harus sedar bahawa terdapat risiko yang tinggi bahawa mereka akan kehilangan jumlah yang besar atau semua wang yang dilaburkan.

Buat masa ini, BNM kekal dengan pendiriannya bahawa Malaysia tidak melarang pelaburan mata wang kripto buat masa ini, sebaliknya membiarkan pasaran membuat keputusan mengenainya.

Ini kerana, larangan ke atas mata wang kripto hanya akan mengekang inovasi dan kreativiti dalam sektor kewangan, terutamanya teknologi kewangan.

Oleh itu, BNM bakal memuktamadkan satu kertas konsep mengenai mata wang kripto pada Februari ini dan disediakan kepada umum untuk memutuskan masa depan bentuk mata wang itu.

Walau bagaimanapun, perlu diingati bahawa wang kripto kekal tidak diiktiraf sebagai mata wang sah diperlakukan (legal tender).

Masa depan mata wang digital masih samar. Terdapat sesete­ngah pihak yang mengakui meraih keuntungan, ada juga mereka yang rugi berikutan sindiket penipuan mata wang kripto. Semua itu berpunca daripada sikap individu yang kurang cakna terhadap risiko sebelum melabur.

Apa yang paling penting adalah orang ramai perlu tahu jenis pelaburan yang sedang mereka laburkan. Anda perlu bijak menilai modal, pulangan dan paling utama, risiko pelaburan itu sendiri. Ini kerana, sekiranya anda ditipu, anda mungkin keliru sama ada boleh dilaporkan kepada pihak polis atau tidak.

Sehubungan itu, setiap individu mesti berhati-hati, berfikir secara kritikal dan rasional sebelum melabur. Selidik terlebih dahulu pelaburan ditawarkan dan jangan membuat keputusan terburu-buru dan terlalu mengejar keuntungan yang belum pasti.

- Utusan Online