Mon07162018

LAST_UPDATEMon, 16 Jul 2018 9am

Khairy Tidak Pernah Arah Otman Bayar Program KBS - Saksi

Otman ArshadOtman Arshad

KUALA LUMPUR -- Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin Abu Bakar tidak pernah mengeluarkan memo atau arahan kepada bekas Setiausaha Bahagian Kewangan KBS Otman Arsahd membuat pembayaran kepada beberapa syarikat yang menjalankan program sukan bagi pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Khairy Jamaludin, Wan Murtadza Wan Mahmud, berkata setiap surat yang dialamatkan kepada Menteri Belia dan Sukan perlu diserahkan kepadanya terlebih dahulu untuk penelitian dan perhatian awal sebelum diserahkan kepada menteri.

"Sepanjang masa saya memegang jawatan sebagai SUSK kepada menteri, Otman tidak pernah memaklumkan kepada saya secara lisan atau memo tentang program-program yang dilaksanakan seperti yang terdapat di dalam surat 'pembayaran melalui akaun kementerian di Majlis Sukan Negara'," katanya.

Wan Mustadza, 44, berkata demikian semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Amer Abu Bakar Abdullah ketika pemeriksaan utama pada perbicaraan Otman, 59, yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta pada enam tahun lepas.

Saksi pendakwaan ke-46 itu memberitahu mahkamah bahawa sepanjang bertugas sebagai SUSK, beliau tidak pernah berjumpa dengan Otman bagi meminta peruntukan sumber kewangan daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) untuk menjalankan program yang melibatkan pejabat menteri.

"Peruntukan bagi mana-mana program di bawah KWASN perlu melalui proses permohonan yang teratur dan mendapat persetujuan jawatankuasa berkenaan kerana dana KWASN hanya digunakan untuk program berkaitan sukan dan pembangunan atlet sahaja.

"Perbelanjaan program melibatkan pejabat menteri kebiasaannya menggunakan peruntukan perbelanjaan mengurus, perolehan yang melibatkan pembelian peralatan pejabat dan lain-lain adalah mengikut tatacara perolehan kewangan yang biasa di KBS," katanya.

Sambil memberitahu bahawa beliau dan Khairy Jamaludin tidak pernah menghadiri mesyuarat jawatankuasa KWASN, Wan Mustadza berkata sepanjang pengetahuannya, pejabat menteri tidak pernah menjalankan program pihak kementerian menggunakan peruntukan KWASN.

"Sepanjang pengetahuan saya, tidak pernah pada bila-bila masa dari 2013 hingga 2015 Otman memaklumkan kepada saya peruntukan KWASN digunakan untuk membuat bayaran kepada beberapa syarikat iaitu Gapa Jitu Sdn Bhd, GPO Essence Sdn Bhd, Econic Corporation Sdn Bhd dan Dial-Ex Sdn Bhd untuk program-program di bawah KBS," katanya.

Semasa menjawab soalan Amer Abu Bakar sama ada minit (catatan ringkas) yang dikeluarkan oleh Khairy Jamaludin berhubung setiap permohonan bantuan kewangan yang dikemuka mempengaruhi keputusan mesyuarat jawatankuasa KWASN, saksi itu berkata ia tidak mempunyai kaitan.

"Mesyuarat jawatankuasa akan membuat keputusan muktamad berdasarkan kertas kerja yang telah dibentangkan atas pertimbangan jawatankuasa yang berkenaan," katanya.

Pada 21 April 2016, Otman yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, didakwa bagi 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015.

Selain Otman, pengarah syarikat pembekal barangan sukan di bawah KBS, Abdul Gafar Abdurahiman, 44, dan isterinya Siti Rohanah Hussien, 44, suri rumah, masing-masing berdepan 63 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank tiga syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa yang sama.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya, Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja Laut.

Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos. Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

-- BERNAMA