Insentif Khas Bakal Diumum Untuk Pemborong Beras Bumiputera

  • Print

PUTRAJAYA – Pemborong beras Bumiputera bakal menikmati insentif khas akan diberikan kerajaan melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang dijangka diumumkan awal Mac ini.

Pengerusi Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) Ismail Awang berkata pihaknya difahamkan insentif tersebut akan diberikan kepada semua pemborong beras Bumiputera yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Usahawan Bernas.

“Perkara itu akan diumumkan sendiri oleh Bernas pada masa yang sesuai, tapi pihak Barim yakin insentif berkenaan pastinya akan membantu pemborong beras Bumiputera mengembangkan potensi mereka dalam industri beras negara,” katanya kepada media sebelum menghadiri mesyuarat agung tahunan Barim di sini hari ini.

Pada masa ini, beliau berkata penglibatan Bumiputera sebagai pemborong beras di negara ini hanya sekitar 30 peratus berbanding keseluruhan 1,600 pemborong beras di negara ini.

Dalam pada itu, katanya Barim kini merancang untuk menjalankan kerjasama lebih erat dengan Bernas bagi merancakkan lagi pembangunan industri berkenaan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani kedua-dua pihak tidak lama lagi.

“Kerjasama itu nanti diharapkan akan membantu Barim yang kini mempunyai keanggotaan hampir 200 orang untuk menjadi lebih kompetitif,” katanya.

Ismail pada masa sama, turut meluahkan kebimbangan mengenai lambakan beras import yang berada di pasaran dipercayai diseludup masuk ke negara ini melalui ‘lorong-lorong tikus’ sehingga menjejaskan perniagaan pemborong beras tempatan.

“Pembeli beras seludup ini biasanya dapat membeli harga lebih murah daripada harga ditawarkan Bernas dan pihak Barim berharap pihak berkuasa memainkan peranan lebih serius dalam mengekang aktiviti haram seumpama itu,” katanya.

-- BERNAMA