Malaysia Berjaya Sebagai Persekutuan - Chandra

  • Print

Chandra MuzaffarChandra Muzaffar

KUCHING -- Malaysia mecatat kejayaan sebagai sebuah Persekutuan dengan pemimpin Sarawak dan Sabah menyedari sepenuhnya tentang perkara itu, kata pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar.

Beliau berkata ketika Allahyarham Tan Sri Adenan Satem menyandang jawatan Ketua Menteri Sarawak, beliau telah berjuang agar hak dan kepentingan negeri ini dikembalikan selain menegaskan bahawa Sarawak akan terus kekal dalam Persekutuan ini.

“Ini menunjukkan Adenan amat menyedari bahawa Persekutuan ini telah berjaya.

“Janganlah berfikir begitu mudah untuk keluar dan bernegeri secara sendiri. Kita perlu memastikan Persekutuan ini berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah umum bertajuk ‘Tadbir Urus Baik Dalam Persekutuan Pelbagai Etnik’ anjuran Institut Pengurusan Sarawak (MASA) dan pengerusinya Tan Sri Hamid Bugo berperanan sebagai moderator di sini hari ini.

Chandra, yang juga bekas profesor Pengajian Global, Universiti Sains Malaysia, berkata bagi beberapa strata berpengaruh dalam masyarakat Sarawak dan Sabah, pembangunan adalah amat berkait rapat dengan persoalan autonomi.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian serius terhadap kebimbangan yang disuarakanoleh semakin banyak kelompok dan individu di Sarawak dan Sabah tentang hak dua negeri itu dalam Persekutuan Malaysia.

Menurutnya hak Sarawak dan Sabah untuk mengawal sumber mereka terutama minyak, mengutip hasil milik sendiri, mengurus kewangan dengan sendiri dan menentukan tarif mereka, akan hanya tercapai sekiranya autonomi kedua-dua negeri itu diberi dan dihormati kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata memastikan rakyat Sarawak dan Sabah memainkan peranan berkesan dalam perkhidmatan awam negeri juga merupakan prasyarat yang amat penting untuk memperkukuh autonomi.

Tadbir urus baik amat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan sesebuah masyarakat, katanya sambil memberitahu tadbir urus baik memberi sumbangan amat besar terhadap keutuhan dan keharmonian sesebuah masyarakat pelbagai etnik,

--BERNAMA