Sun06242018

LAST_UPDATESun, 24 Jun 2018 11am

Projek Agihan Gas Asli Di Perak Tarik Lebih Ramai Pelabur

IPOH – Projek sistem pengagihan gas asli di Perak mampu menarik lebih ramai pelabur asing dan tempatan seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan perindustrian negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, Perak agak ketinggalan dari segi perindustrian berbanding negeri lain disebabkan kekurangan kemudahan dan infrastruktur sekali gus pelabur kurang berminat menjalankan kegiatan perindustrian di negeri ini.

“Kita akan dapat melihat perubahan kawasan perindustrian di negeri ini, malah kerajaan negeri juga telah membuat keputusan untuk menyediakan prasarana terkini di kawasan yang sudah dibangunkan kira-kira 30 hingga 40 tahun lepas.

"Inilah (projek sistem pengagihan gas asli) yang sangat kita harapkan dan membantu merancakkan pertumbuhan industri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek itu bagi​​​​​​​rangkaian paip sepanjang 50 kilometer, di Bandar Meru Raya di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Pengerusi Gas Malaysia Berhad Datuk Hasni Harun.

Zambry berkata, kerajaan negeri juga dapat merangka semula strategi dan dasar berkaitan industri, seiring dengan perubahan dunia industri masa kini.

Sementara itu, Hasni berkata projek sepanjang 140 kilometer itu yang bermula dari Ayer Tawar, Manjung ke Lembah Kinta membabitkan kos RM180 juta.

Beliau berkata, pihaknya telah dipertanggungjawabkan untuk membina rangkaian paip penyaluran dan pengagihan gas asli bermula dari Ayer Tawar ke Bercham bagi rangkaian utama serta dari Lahat ke Simpang Pulai untuk rangkaian sisian.

Projek yang bermula sejak akhir 2016 itu telah​​​​​​ ​menyiapkan rangkaian paip sepanjang 31 kilometer​​​, 59 kilometer sedang rancak dibina manakala baki 50 kilometer lagi akan dilaksanakan dan dijangka​​​​​​​ siap sepenuhnya pada suku keempat 2019, katanya.

Gas Malaysia membiayai RM120 juta bagi projek itu manakala kerajaan persekutuan memperuntukkan​​​​​​​ RM50 juta dan RM10 juta lagi oleh kerajaan Perak, katanya.

"Projek ini mempunyai kebaikan iaitu dapat mengurangkan pencemaran udara dan asap hitam di udara, dan gas asli merupakan sumber tenaga yang efisyen serta dapat menambahkan keberkesanan pengeluaran kepada industri pembuatan selain menjana peluang pekerjaan baharu untuk rakyat di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA