Sun06242018

LAST_UPDATESun, 24 Jun 2018 11am

Syiar Islam Dapat Ditegakkan Kerana Kerajaan Miliki Kuasa Politik

Datuk Dr Asyraf Wajdi DusukiDatuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

SEREMBAN -- Syiar Islam akan dapat terus ditegakkan di negara ini kerana kerajaan hari ini mempunyai kuasa politik untuk memartabatkan agama selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini jelas apabila kerajaan memperuntukkan sehingga RM1 bilion setahun kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk disalurkan kepada majlis- majlis agama Islam negeri bagi pembangunan hal ehwal Islam.

"Pada masa ini, kerajaan dapat memberi peruntukan besar kepada 34,000 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), 14,400 imam serta 3,700 guru takmir di seluruh negara secara berterusan. Itu sahaja membuktikan bahawa apabila kita mempunyai kuasa politik dan kita mempunyai iltizam yang jelas seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

"Selain itu, peruntukan untuk agama Islam bukan sahaja diberi melalui Jakim tetapi juga melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Kita ada ribuan sekolah agama di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Program Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sembilan yang dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Asraf Wajdi mengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak menafikan sumbangan besar yang dilakukan kerajaan selama ini hanya kerana beberapa isu kecil sehingga mendorong perasaan benci kepada kerajaan.

“Walaupun kerajaan tidak pernah mendabik dada terhadap usaha yang dilakukan untuk melonjakkan Islam, dunia sendiri telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam contoh,” katanya.

Pada sidang media kemudian, Asyraf Wajdi mengingatkan pendakwah terutama yang berstatus selebriti supaya berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang pandangan berkaitan hukum agama menerusi laman sosial.

“Terdapat golongan sedemikian yang cenderung memberi pandangan sehingga melangkaui keputusan dan fatwa dikeluarkan mufti atau pihak berkuasa agama sehingga mengelirukan masyarakat...jadi saya minta mereka berhati-hati,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Asyraf Wajdi turut menyampaikan replika cek bernilai lebih RM30 juta kepada kerajaan negeri bagi pembayaran imbuhan imam, elaun guru KAFA dan guru takmir di negeri ini dan cek bernilai lebih RM4 juta untuk pembayaran khas sekali gus’ kepada 800 imam, bilal, siak, guru KAFA dan takmir dengan masing-masing menerima RM1,500 seorang.

Turut hadir, Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Datuk Selamat Paigo.

-- BERNAMA