Fri06222018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 7pm

Wujudkan Terengganu Youth City

KUALA TERENGGANU- Terengganu Youth City (TYC) perlu diwujudkan, dalam membawa pembangunan generasi muda Terengganu selari dengan hasrat Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menerapkan lima elemen penting.

Sharifah Nor Saidatul Husna Syed Anuar berkata, selain mensasarkan peningkatan 50 peratus tenaga kerja tempatan di negeri ini menjelang 2025, ia juga bagi mengukuhkan jati diri dan kerja-kerja sukaralewan terutama dalam kalangan belia berumur 18 tahun ke atas.

“Elemen yang ketiga adalah menjadi kuasa ekonomi digital Pantai Timur menjelang 2023 dan keempat, mewujudkan bank data belia menjelang 2020.

“Selain itu, ia juga akan melahirkan ‘New Talent Management Terengganu’ sekurang-kurangnya 1,000 orang setiap tahun bermula 2019 yang akan menjadi elemen penting dalam merealisasikan TYC,” katanya.

Beliau yang juga wakil Kuala Berang Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membawa usul berkenaan pada Persidangan Dun Muda GPMS Terengganu 2018 baru-baru ini dan mendapat persetujuan majoriti.

Pengerusi GPMS Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Puteraberkata, usul tersebut telah mendapat undian terbanyak dan mereka akan memulakan kerja awal dalam mewujudkan pusat tersebut dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT).

Katanya, persidangan pada tahun ini berbeza berbanding tahun lalu yang mengusulkan tentang pembangunan ekonomi belia manakala untuk 2018, pihak GMPS ingin mewujudkan pusat bersifat fizikal.

“Pusat bersifat fizikal ini adalah agar kita dapat membantu belia Terengganu dalam sebarang bidang yang mereka minati. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan peratus kes jenayah yang melibatkan para belia," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Persidangan itu turut dihadiri Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirullah Othman dan Presiden Alumni GMPS, Syed Anuar Syed Mohamad.

Sementara itu, Ahmad Zakuan Zakaria yang merupakan Pelajar kursus Sains Pengurusan Perladangan Universiti Putra Malaysia (UPM), menerima Anugerah Pembahas Terbaik pada persidangan kali ini.

Kira-kira 32 belia Terengganu yang menjadi 'wakil rakyat' terlibat dalam persidangan berkenaan.

-Sinar Harian