Mon06182018

LAST_UPDATEMon, 18 Jun 2018 11am

Hapus GST: Pakar Ekonomi Tanya Apa Mekanisme Lain Pakatan

Foto: theRakyatFoto: theRakyat

KUALA LUMPUR – Langkah Pakatan Harapan untuk memansuhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan cubaan untuk menjejaskan kestabilan, kemampanan dan integriti bajet negara.

Pakar ekonomi negara, Tan Sri Ramon Navaratnam mempersoalkan jika GST dimansuhkan apakah mekanisme lain yang akan dibuat untuk memperoleh sebanyak RM40 bilion yang dikutip daripada cukai tersebut sekarang.

Menurut beliau, jumlah RM40 bilion itu satu angka yang besar bagi negara seperti Malaysia yang tidak lagi bergantung kepada hasil minyak dari Petroliam Nasional Berhad.

“Cakap memang senang tapi hendak buat bukan semudah itu.

“Daripada Pakatan Harapan mahu mendapatkan perbelanjaan operasi negara, bagaimana mahu mendapatkan bajet seimbang.

“Dan, perbelanjaan sektor manakah yang akan dipotong oleh Pakatan Harapan jika RM40 bilion itu hilang tiba-tiba,” soal Navaratnam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai manifesto Pakatan Harapan yang mahu menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari jika berjaya menguasai kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Beliau yang menyokong pelaksanaan GST berkata, ketika banyak negara melaksanakan GST untuk meningkatkan pendapatan negara, mengapa Pakatan Harapan mengambil langkah kebelakang.

“Saya hairanlah. Kalau GST ini tidak baik mengapa hampir kebanyakan negara di dunia melaksanakannya.

“Kenapa kita perlu ambil langkah kebelakang sedangkan ada negara berjayaa dengan sistem tersebut. Jangan kata Pakatan Harapan akan melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan semula, itu memang menyedihkan,” tambahnya.

Ramon berkata, tindakan menghapuskan GST akan menyebabkan jurang antara golongan miskin dan kaya akan semakin melebar.

“Kalau tak percaya, tengoklah nanti,” katanya.

– theRakyat