Sun06242018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 9pm

Projek Tilam Wakaf Bantu Warga Emas

PONTIAN - Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Rimba Terjun menggerakkan projek 'tilam wakaf' bagi membantu warga emas yang memerlukan tilam khas ekoran masalah kesihatan dihadapi.

Ahli jawatankuasa, Abdul Kamal Suboh berkata, keluhan warga emas terutamanya pesakit angin ahmar yang mengadu tidak selesa menggunakan tilam biasa membuatkan jawatankuasa masjid terpanggil membantu mereka mendapatkan tilam khas yang lebih selesa iaitu tilam angin.

Menurutnya, setakat ini jawatankuasa masjid mempunyai tiga buah katil serta tilam angin untuk diberikan kepada warga emas yang memerlukan di kampung berkenaan.

“Salah seorang penerima tilam ialah Ab Maulud Ismail, 63, yang tidak mampu bergerak kerana terlantar.

"Dia memerlukan tilam yang lebih sesuai bagi mengelakkan badannya melecet,”katanya sewaktu menyerahkan katil dan tilam angin berkenaan, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan, Ketua Kampung Kawasan ( 4 ) Mukim Rimba Terjun, RejabTasrif, Ketua Kampung Kawasan ( 5 ) Mukim Rimba Terjun, Daud Sanusidan dan Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Pontian, Sharil Mohd. Salleh.

Jefridin turut memberikan sumbangan lampin pakai buang bagi kegunaan Ab. Maulud serta barangan keperluan harian bagi kegunaan keluarga tersebut.

Abd. Kamal berkata, pihaknya berharap katil dan tilam angin yang diwakafkan oleh orang ramai dapat memberikan manafaatkepada pesakit seperti Ab. Maulud.

Sementara itu, isteri Ab. Maulud, Saamah Ahmad, 53, berkata, tugas seharian menjaga suaminya dilakukan oleh anaknya, Normaliza, 20, yang sanggup berhenti berkerja untuk menjaga ayahnya yang sakit.

Katanya, memandangkan keuzuran suaminya itu, dia berkerja disebuah kilang di bandar Pontian bagi menampung perbelanjaan seharian memandangkan masih ada anaknya yang sedang belajar.

Menurutnya, kali pertama suaminya menghidap penyakit angin ahmar pada tahun 2012 dan selepas itu diserang semula pada tahun 2016 sehingga sekarang menyebabkannya tidak mampu untuk bergerak.

“Suami saya memerlukan dua tin susu khas seminggu.

"Ia diberikan melalui tiub," katanya.

Dalam pada itu, Saamah turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM ) Pontian yang telah meluluskan bantuan sebanyak RM350.00 sebulan untuk membiayai keperluan suaminya.

Katanya, bantuan sebanyak RM200 turut diterima daripada Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Piai.

-Sinar Harian