Fri06222018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 7pm

Johor Tak Abai Sekolah Tahfiz

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan mana-mana sekolah tahfiz mahupun pondok yang terdapat di negeri ini.

Exco Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi bantuan demi keselesaan dan keselamatan pelajar.

Menurutnya, bantuan diberikan berupa pengurusan sekolah yang dilihat semakin meningkat saban tahun.

“Sebagai contoh untuk tahun 2013, sejumlah RM350,000 diperuntukkan dan ia meningkat kepada RM750,000 dan pada tahun 2015 hingga 2017, meningkat kepada RM1 juta.

“Selain itu, sekolah pondok dan sekolah tahfiz ini juga mendapat bantuan daripada kerajaan pusat untuk tujuan baik pulih khususnya pendawaian iaitu sebanyak RM1.4 juta pada tahun 2016 dan RM1.6 juta pada tahun 2016," katanya pada Mesyuarat Keempat Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Mohamad Taslim (Pas-Maharani) mengenai bantuan kepada sekolah tahfiz dan sekolah pondok yang terdapat di negeri ini.

Abd Mutalip (BN-Layang-Layang) berkata, keseluruhan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan pusat untuk sekolah tahfiz swasta dan sekolah pondok adalah RM4.67 juta.

Sementara itu, katanya, terdapat kira-kira 122 sekolah tahfiz dan lapan sekolah pondok berdaftar yang direkod oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) sehingga bulan ini.

-Sinar Harian