Fri06222018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 7pm

Jantan Berbasikal Demi BR1M

PAYA RUMPUT - Biarpun tersalah lokasi, namun tidak mematahkan semangat seorang warga emas yang gigih mengayuh basikal sejauh lebih enam kilometer untuk menerima wang BR1M 2018.

Jantan Dalit, 69, berkata, dia yang hanya mempunyai sebuah basikal tua untuk bergerak mengakui sejak pagi lagi, bersemangat untuk menerima BR1M walaupun itu bukan kali pertama baginya.

Bapa tunggal itu yang sebelum ini bekerja di Pasar Borong Batu Berendam di sini, dan kini tinggal di rumah anak sulung di Krubong, mengakui BR1M dapat digunakan untuk menyara kehidupan selain membeli ubat buat dirinya.

“Pak cik bukannya ada pencen. Sejak akhir-akhir ini selalu demam, bila ada bantuan seperti ini dapatlah pak cik beli keperluan sendiri mahupun ubat.

“Dari rumah anak, pak cik terus ke Paya Emas, tapi salah tempat, sebelum pak cik berpatah ke Kompleks Japerun Paya Rumput di Cheng.

“Walaupun perjalanan agak jauh, tapi pak cik kuatkan semangat ke lokasi sebenar dengan terus mengayuh basikal,” katanya.

Jantan berkata demikian kepada pemberita ketika majlis Penyampaian BR1M 2018 Parlimen Tangga Batu di Dewan Taman Paya Rumput Perdana, semalam.

Hadir sama, Adun Paya Rumput, Datuk Sazali Muhd Din; Adun Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan Adun Pantai Kundor, Ab Rahman Ab Karim.

Sementara itu, suri rumah, Sapiah Sahat, 60, berkata, dengan bantuan wang BR1M, dia dapat meringankan beban keluarga lebih-lebih diuji apabila suaminya diserang strok.

Lebih menyedihkan, anak sulungnya, Zouhari Muharram, 37, adalah Orang Kurang Upaya (OKU) sejak lahir.

Katanya, wang berkenaan juga akan digunakan untuk membeli minuman kesihatan Zouhari, selain perbelanjaan keluarga yang dianggarkan kira-kira RM1,500 termasuk belanja dapur.

“Beban kami sekeluarga semakin ringanlah sikit dengan BR1M ini. Mak cik bukannya bekerja. Selain itu, ia juga dapat menjadi tambahan kepada wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima anak dan suami,” katanya yang tinggal di Kampung Krubong.

Sistem agihan lebih teratur

Dalam pada itu, Adun Paya Rumput, Datuk Sazali Muhd Din berkata, Dun itu mencatatkan jumlah tertinggi penerima BR1M dalam parlimen itu dengan seramai 472 orang daripada jumlah keseluruhan 653 orang.

Selain itu katanya, Dun Paya Rumput turut mencatatkan peningkatan 38.13 peratus yang mungkin dipengaruhi kepadatan kawasan perumahan dianggarkan 100 buah taman, termasuk 10 buah kampung tradisi.

Jelasnya, sistem pemberian kali ini lebih sistematik termasuk mewujudkan enam kaunter dan sebuah kaunter OKU bagi memudahkan wang diagihkan kepada penerima tanpa perlu menunggu terlalu lama.

“Rata-rata penerima berpuas hati dengan bantuan yang diterima dan setiap tahun, kita sentiasa memperbaiki sistem pengagihan wang BR1M. Terutamanya kepada mereka yang tidak memiliki akaun bank agar pemberian itu dapat dilakukan dengan cara lebih mudah dan cepat,” katanya.

Dalam program itu juga, seramai 94 orang dari Dun Pantai Kundor, 47 orang dari Dun Sungai Udang dan 40 penduduk dari Dun Klebang menerima bantuan wang BR1M sehingga jam 12 tengah hari.

-Sinar Harian