Mon06252018

LAST_UPDATEMon, 25 Jun 2018 4pm

Azizul, Jun Hoong Terbaik 2017

Foto: Utusan OnlineFoto: Utusan Online

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal negara Mohd. Azizulhasni Awang dan ratu terjun Cheong Jun Hoong dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan dalam majlis Anugerah Sukan Kebangsaan 2017 yang berlangsung di sini malam ini.

Kejayaan me­rangkul gelaran dunia dalam acara keirin pada tahun lalu menyaksikan Azizulhasni menjadi pilihan juri untuk diberikan pengiktirafan, mengetepikan cabaran tujuh calon lain yang turut disenarai pendek untuk anugerah sukan berprestij tempatan itu.

Ini adalah kali ketiga Azizulhasni dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas 2009 dan 2010.

Azizulhasni disaingi oleh Mohd. Syarul Azman Mahen (bina badan), Muhammad Hakimi Ismail (olahraga), Gavin Kyle Green (golf), Mohd. Fitri Saari (hoki), Mohamad Rafiq Ismail (boling), Wong Weng Son (wusyu) dan Khairul Hafiz Jantan.

Sementara itu, kejayaan Jun Hoong meraih pingat emas acara terjun 10 meter platform dalam Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary menjadikannya calon terbaik untuk diangkat sebagai Olahrawagati Kebangsaan mengatasi lima calon lain iaitu S. Sivasangari (skuasy), Koi Sie Yan (gimrama), Fatehah Mustapa (lumba basikal), Emma Firyani Saroji (bo­ling padang) dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (boling).

Kejayaan itu me­nyaksikan Azizulhasni dan Jun Hoong masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai se­banyak RM20,000, piala iringan, sijil serta pia­la pusi­ngan dan persatuan yang diwa­kili mereka turut diberikan insentif sebanyak RM2,000.

Anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam majlis makan malam gilang-gemilang malam ini.

Azizulhasni yang dikenali sebagai Pocket Rocketman berkata, dia amat bersyukur dengan anugerah tersebut dan menganggapnya dapat meningkatkan motivasinya sebagai atlet.

“Anugerah ini pastinya menjadi pembakar semangat buat saya untuk terus cemerlang terutama dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang akan saya sertai tahun ini.

“Dapat meraih anugerah ini buat kali ketiga bagaikan satu penghormatan buat saya sebagai atlet kerana ini adalah anugerah sukan tertinggi di negara ini dan bukan senang untuk meraihnya,” katanya.

Jun Hoong yang kini berada di Jepun pula berkata, kejayaan tersebut merupakan penghormatan ter­tinggi buat atlet di Malaysia ter­utama selepas berjaya menghasilkan kejayaan di persada sukan dunia.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan soko­ngan kepada saya termasuk MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara).

“Saya memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam maj­lis ini kerana berada di luar negara untuk terus mengharumkan nama Malaysia.

“Saya berharap kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada saya untuk terus cemerlang di pentas kejohanan utama terma­suk dalam Sukan Komanwel,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, atlet lontar peluru paralimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli dinobatkan selaku Olahragawan Paralimpik Kebangsaan selepas kejayaan muncul juara Kejohanan Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di London untuk kategori F20 (masalah pembelajaran).

Atlet dari Gombak, Selangor itu turut membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta piala iri­ngan, piala pusingan dan sijil.

Jurulatih acara pecut kebangsaan Mohd. Poad Kassim dianugerahkan jurulatih lelaki terbaik kebangsaan manakala jurulatih bola keranjang wanita Yoong Sze Yuin menerima anugerah bagi kategori wanita.

Pasukan hoki lelaki negara dipilih sebagai pasukan lelaki kebangsaan terbaik manakala pasukan boling wanita diangkat sebagai pasukan wanita terbaik.

Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pelumba MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah pula diberikan Anugerah Khas sebagai penghargaan terhadap pencapaian cemerlang mereka sepanjang tahun lalu dalam bidang masing-masing.

- Utusan Online