Mon06252018

LAST_UPDATEMon, 25 Jun 2018 4pm

Komited Tingkat Sosio Ekonomi

JELI - Peranannya sebagai peneraju kepada program pembangunan ekonomi mampan dalam usaha membasmi kemiskinan di negara ini menyebabkan Yayasan Sejahtera begitu komited menjayakan setiap perancangan dengan cara dan pendekatan tersendiri.

Ketua Pegawai Operasinya, Suheilah Abu Bakar berkata, sekurang-kurangnya selama 18 bulan pihaknya akan memantau perjalanan perusahaan setiap peserta agar dapat melihat kestabilan dan kejayaan di sebalik produk di ketengahkan.

“Kita tak bagi duit, tapi sumbangkan peralatan dan kongsi kemahiran serta pengetahuan untuk bantu kembangkan lagi kegiatan ekonomi mereka.

“Kita akan pantau perjalanan perusahaan peserta yang dibantu dari semasa ke semasa hingga mereka mampu stabil dan menjana pendapatan lebih baik. Sekarang ini tempoh kita bersama mereka dipanjangkan kepada 36 minggu," katanya ketika menghadiri program Hasanah Bersama Rakyat (HBR) di sini.

HBR Jeli merupakan siri kedua tahun ini selepas bertandang ke Kuching Januari lalu merupakan suatu inisiatif CSR Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) yang bertujuan menyediakan pelbagai perkhidmatan secara percuma kepada golongan B40 menerusi yayasan dan rakan kongsi di bawah yayasan miliknya, Yayasan Hasanah.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga ahli parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed telah melancarkan acara HBR di Jeli yang menyaksikan penyertaan lebih 60 NGO, GLC dan agensi kerajaan.

Suheilah berkata, konsep Yayasan Sejahtera mungkin berbeza dengan sesetengah yayasan lain kerana kami ingin pastikan apa yang diberi memberi manfaat jangka panjang buat peserta.

“Kita tak mahu ada yang salah guna bantuan diberi, kerana peruntukan untuk jayakan program- program ini merupakan satu amanah bagi Yayasan Sejahtera yang diberi kepercayaan dan dana oleh Yayasan Hasanah untuk menggerakkan aktiviti- aktiviti ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Suheilah berkata, antara program pembangunan komuniti yang dilaksanakan di negeri ini ialah projek pertanian di Tawang, Bachok, jahitan juga di Bachok dan perusahaan akok di Semerak, Pasir Puteh.

“Projek pertanian di Bachok memberikan maklum balas sangat baik apabila petani yang kita bantu sudah mampu melahirkan 12 lagi petani di bawahnya. Kita bantu dia seorang sahaja, tapi alhamdulillah peserta kita pula bantu orang di sekitarnya.

“Itu yang kita harapkan apabila ramai dapat manfaat. Di Sarawak kita ada perusahaan gula apong yang diusahakan penduduk setempat, dan pasarannya kini semakin meluas,” katanya.

Suheilah berkata, sejak ditubuhkan pada 2009 sehingga kini lebih 8,000 peserta di seluruh negara dibantu Yayasan Sejahtera termasuk 280 di Kelantan yang bermula pada 2012 hingga 2015.

Sementara itu, pengusaha akok, Nor Kasmani Jabar mengakui selepas menerima mesin bancuh tepung sumbangan Yayasan Sejahtera empat tahun lalu, pengeluaran akoknya meningkat dua kali ganda.

Katanya, bantuan berkenaan meningkatkan hampir 100 peratus pendapatan keluarganya apabila mampu menjana kira-kira RM3,000 sebulan.

“Sebelum ini saya hanya guna mesin bancuh yang boleh memuatkan tiga kilogram tepung sahaja.

“Tapi bila dapat sumbangan mesin dengan saiz lebih besar dari Yayasan Sejahtera sekitar lima hingga enam kilogram tepung dapat disediakan untuk menghasilkan 600 biji akok sehari,” katanya.

Nor Kasmani yang sudah 13 tahun mengusahakan akok di Semerak, Pasir Putih berkata, bagaimana pun pengeluarannya meningkat lima kali ganda kepada 3,000 biji sepanjang Ramadan.

-Sinar Harian