Mon06252018

LAST_UPDATEMon, 25 Jun 2018 4pm

Kem Desa Jadi Pusat Pemindahan

JELI - Bah Kuning yang melanda Kelantan pada 2014 benar-benar memberi peringatan dan pengajaran kepada semua pihak.

Apa yang dilalui sebahagian besar penduduk di negeri ini menjadi igauan ngeri buat mereka walaupun peristiwa hitam itu sudah lebih tiga tahun berlalu.

Dalam peristiwa itu, Bertam Lama antara kawasan teruk terjejas sehingga mangsa terpaksa mencari perlindungan di tempat lebih tinggi dari lokasi- lokasi yang ada.

Bertitik tolak dari peristiwa itulah, Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) telah mewujudkan Kem Desa BBNGO Bertam Lama untuk memberi perlindungan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan berkenaan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Pengerusinya, Prof Dr Dinsuhaimi Sidek berkata, lokasi kem berkenaan pada mulanya merupakan tempat pemindahan mangsa banjir pada 2014 itu.

“Kedudukannya yang strategik yang jauh di puncak bukit menyebabkan ia antara lokasi paling selamat ketika itu.

“Selepas banjir berakhir, Kem Desa BBNGO putuskan untuk jadikan ia tempat rekreasi kepada penduduk sekitar bagi memastikan ia terjaga,” katanya kepada media pada program Hasanah Bersama Rakyat (HBR) anjuran Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) di sini.

Jeli merupakan lokasi kedua HBR pada 2018 selepas Santubong di Sarawak. HBR memberi peluang kepada Khazanah untuk mendekatkan diri dengan masyarakat, khususnya golongan B40, menerusi usaha amal kebajikan Yayasan Hasanah serta NGO yang disokongnya.

Menurutnya, beberapa buah rumah diperbuat daripada buluh dan rumah di atas pokok turut didirikan kawasan itu sebagai satu tarikan kepada orang ramai.

Dalam pada itu, di Kem Desa BBNGO itu juga diwujudkan gelanggang futsal untuk membolehkan golongan muda mengadakan aktiviti, beriadah atau menganjurkan pertandingan futsal.

“Ini merupakan salah satu sumbangan kami kepada Kelantan pasca banjir, dan sumbangan serta bantuan tidak terhad di Kelantan sahaja, tetapi kami turut membantu mangsa banjir di negeri lain yang terlibat dengan bencana alam ini,” katanya.

BBNGO yang juga salah satu NGO di bawah Yayasan Hasanah, namun sumbangan tenaga dan bantuan banjir mereka tidak terhad di Malaysia sahaja, malah pihaknya akan turut menghulurkan bantuan kepada mangsa- mangsa banjir di negara jiran.

Semasa program HBR, BBNGO turut membuka reruai dengan memberi khidmat nasihat dan panduan persediaan awal sekiranya berlaku banjir kepada orang ramai yang hadir.

Kira-kira 8,000 pengunjung hadir di acara HBR di Jeli yang dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

-Sinar Harian