Thu06212018

LAST_UPDATEWed, 20 Jun 2018 10pm

Negara Muflis Hanya Omongan Orang Politik

Foto: Sinar HarianFoto: Sinar HarianSHAH ALAM: Dakwaan bahawa negara bakal muflis kerana pelbagai skandal melingkari kerajaan memerintah, hanya cakap orang politik yang mahu mendapatkan sokongan semata-mata.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sudah menjadi tabiat pemimpin politik mewujudkan persepsi bahawa pihak yang memegang kuasa itu sangat teruk.

“Saya sering ditanya dengan persepsi sebegini dan ramai dimomokkan. Ada tabiat pemimpin politik bahawa orang lain segala-galanya teruk kerana mahu orang pilih dia.

“Kita ambil contoh di Johor, ada yang wujudkan persepsi bahawa orang Cina dan Singapura telah menekan orang Melayu, lalu dipinggirkan. Sebenarnya ia tidak benar sama sekali,” katanya pada Forum Halatuju Malaysia Pasca PRU14 yang berlangsung di Dewan Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mengambil contoh kutipan derma solat Jumaat kebanyakan masjid di negara ini yang semakin bertambah, ia boleh dijadikan penunjuk semasa ekonomi rakyat.

“Dengan jumlah kutipan ini, takkan kita nak kata keadaan ekonomi sekarang makin teruk.

“Dua tiga hari lalu, saya jumpa seorang kawan yang tukar ringgit kepada riyal, kerana mahu mengerjakan umrah. Dia kata nak bawa satu keluarga ke tanah suci.

"Kalau dahulu, jarang sekali seorang ayah bawa anak-anak mengerjakan umrah, sebaliknya anak itu bawa ayah dan ibu selepas dia bekerja dan mampu. Apa yang berlaku pada hari ini adalah kejayaan kerajaan dalam soal perbankan Islam dan banyak lagi," katanya.

Shahrir berkata, keadaan ekonomi semasa negara boleh dilihat daripada persekitaran iaitu rakyat dan bukan pemimpin negara.

“Ini adalah realiti ekonomi sekarang, dengan pertumbuhan negara semakin meningkat. Negara kita bukan menggelongsor ke arah muflis dan tidak ada kemampuan,” katanya.

-Sinar Harian