Tue07172018

LAST_UPDATETue, 17 Jul 2018 1pm

Salahuddin Tiada Sokongan Di Pulai - Nur Jazlan

Salahuddin AyubSalahuddin Ayub

JOHOR BAHRU -- Kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub yang mungkin tidak kekal bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) membuktikan beliau tidak mempunyai sokongan di kawasan itu, kata Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata ini juga menunjukkan bahawa bekas naib presiden PAS itu tahu bahawa dirinya tidak mempunyai jentera yang akan menyokong dan membantunya pada PRU kali ini berbanding semasa bertanding atas tiket PAS pada PRU13 di kerusi Parlimen Pulai.

Katanya kenyataan Salahuddin yang berhasrat bertukar kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Piai menunjukkan Pakatan Harapan yang dianggotai PPBM, DAP, Amanah dan PKR belum memuktamadkan pembahagian kerusi sedangkan mereka mengumumkan pembahagian kerusi di Johor sudah selesai.

“Sekarang nampaknya masih ada perancangan tukar menukar kerusi … ini menunjukkan tidak ketentuan dalam pakatan pembangkang yang hanya 'tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain' dan mungkin tidak percaya satu sama lain, keikhlasan jentera parti dalam membantu calon-calon untuk menang," katanya mengulas kenyataan Salahuddin hari ini yang tidak menolak kemungkinan melepaskan kerusi Parlimen Pulai kepada rakan gabungan, PPBM.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Karnival Pendidikan Mara (EDUXTRA) Zon Selatan anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara), di Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini.

Berdasarkan rundingan terkini agihan kerusi, Salahuddin berkata telah diputuskan bahawa Amanah bertanding di Pulai manakala PPBM di Tanjung Piai.

​​​​​​​​​​​​​​Pada PRU13, Salahuddin tewas di kerusi Parlimen Pulai kepada Nur Jazlan dengan majoriti 3,226 undi.

Sementara itu, ketika ditanya tentang Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong yang dikatakan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kluang sebaliknya akan bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam, Nur Jazlan berkata ia menunjukkan wakil rakyat DAP bertanding bagi kepentingan diri sendiri dan parti, bukannya untuk kepentingan rakyat.

"Sebab itu saya harap rakyat nampak perkara ini. Kalau mereka tidak fikirkan hal rakyat, bagaimana mereka hendak fikir tadbir kerajaan?

“Liew, kerana beliau tidak jaga (kebajikan penduduk) Kluang selama ini, beliau tidak mahu rekod buruk di Kluang jadi perkara negatif kepada beliau, beliau buat cerita baharu dengan pindah ke Ayer Hitam, konon-konon jadi hero," katanya.

-- BERNAMA