Sun07222018

LAST_UPDATESun, 22 Jul 2018 9pm

Teng Dakwa Dihalang Bongkar Isu Terowong Laut

Teng Chang Yeow.Teng Chang Yeow.

GEORGE TOWN -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow hari ini berkata bahawa ada pihak cuba menutup mulutnya daripada terus membongkarkan isu-isu berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Semasa bercakap pada sidang media di sini, Teng turut menunjukkan tangannya yang diikat sebagai simbolik bahawa beliau dihalang daripada terus memperkatakan tentang projek itu.

Pada tangannya yang diikat itu tertera perkataan ‘Undersea Tunnel Project, my hands are tied!’

Selepas hampir 30 minit berdiri dengan tangannya diikat, Teng kemudian memberi penjelasan kepada media mengenai perkara itu.

Beliau berkata perbuatannya itu adalah simbolik kepada tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang cuba ‘mengikat dirinya’  daripada terus membangkitkan isu, kontroversi dan skandal berkaitan projek  terowong dasar laut itu.

"Melalui tindakan mahkamah, usaha ini dilihat cuba untuk menutup mulut saya daripada terus membongkar lebih banyak lagi bahan berkenaan isu terowong dasar laut,"katanya.

Teng yang juga Pengerusi Gerakan negeri berkata writ saman daripada Lim berhubung projek berkenaaan telah diterimanya dan 16 April ini merupakan pengurusan kes bagi saman tersebut di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Katanya beliau tidak  terancam dengan tindakan undang-undang itu dan akan terus bercakap mengenainya (terowong) tanpa menyentuh perkara yang mungkin dianggap sebagai fitnah di mahkamah.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai telah mencetuskan pelbagai kontroversi termasuk berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. 

Projek itu sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana didakwa melibatkan  kos kajian kebolehlaksanaan yang tinggi dan kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai video yang menunjukkan Lim menyanyikan  lagu ‘ABC’, yang kandungan liriknya dilihat menyindir kerajaan BN, dengan  sekumpulan kanak-kanak, Teng berkata tindakan itu amat tidak wajar sekali.

"Ini tindakan seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab, apa matlamat? Matlamat seperti ini tidak murni, tindakan seperti ini tidak sejajar dengan dengan statusnya sebagai pemimpin negeri.

“Politik jangan  dibawa  kepada anak-anak kecil, mereka  belum faham lagi apa itu politik,” katanya. 

--BERNAMA