Mon07232018

LAST_UPDATESun, 22 Jul 2018 9pm

Iskandar Ke Sukan Komanwel 2018 Dengan Rekod Baharu Kebangsaan

Iskandar Alwi.Iskandar Alwi.

KUALA LUMPUR -- Atlet lompat bergalah kebangsaan, Iskandar Alwi mendapat tonik tambahan ke Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia April ini apabila  berjaya memperbaharui rekod kebangsaan ketika turun beraksi pada Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA/MILO 2018 hari ini.

Pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) itu,  beliau merekodkan ketinggian 5.31 meter selepas turut membuat 5.26m untuk memadam rekod lamanya iaitu 5.25m yang dicipta ketika meraih gangsa pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita, atlet berusia 24 tahun itu berkata memecahkan rekod kebangsaan adalah misi utamanya hari ini namun tidak menyangka dapat mencapai lompatan sehingga 5.31m.

“Hari ini saya memang sasar nak pecah rekod kebangsaan tapi tidak sangka sehingga boleh melepasi ketinggian 5.31m. Ini merupakan rekod ketinggian tertinggi bagi diri saya.

”Kalau ikutkan saya, rekod 5.26m itu pun sudah cukup tetapi jurulatih (Teh Weh Chang) terus memberi rangsangan untuk saya mencuba ketinggian 5.31m dan Alhamdulillah saya berjaya pada percubaan lompatan kedua,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata kejayaan hari ini memberinya satu motivasi berharga selain membakar semangatnya untuk terus gigih berlatih bagi memburu catatan yang lebih baik di Sukan Komanwel 2018.

“Rasanya saya masih ada masa untuk capai ketinggian yang lebih baik, lagipun sekarang saya masih belum berada di puncak prestasi selain langkah larian masih kekal dengan 14 langkah. 

“Di Sukan Komanwel nanti saya sasar untuk membuat 16 langkah larian bagi membolehkan saya mendapat momentum larian untuk mencapai ketinggian lompatan lebih baik,” katanya.

Untuk rekod, Sukan Komanwel 2018 adalah penampilan kedua buat Iskandar selepas tampil buat pertama kali pada edisi Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland yang menyaksikan beliau sekadar mencapai ketinggian lompatan 5.10m.

-- BERNAMA