Sun07222018

LAST_UPDATESun, 22 Jul 2018 9pm

Kenapa Sembilan Projek Rumah Mampu Milik Batal?

SHAH ALAM - Exco Pemuda Umno mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menyemak dan memaklumkan kepada seluruh rakyat Selangor mengenai pembatalan sembilan projek perumahan mampu milik tanpa sebab.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar Dan Perumahan Pemuda Umno, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin dalam satu kenyataan berkata, isu sembilan projek perumahan rakyat di Selangor yang dibatalkan baru - baru ini menghairankan dan mengecewakan anak muda yang berpendapatan rendah.

“Jeritan kuat pemimpin semasa memberi janji masih lagi tergiang-giang di telinga kami ketika sibuk berkempen di Selangor PRU lalu. Kata mereka, rakyat Selangor akan dibantu dengan membina rumah-rumah mampu milik. 

“Sembilan projek perumahan Selangor dibatalkan mungkin untuk bina rumah mampu lihat,” katanya.

Nazir Hussin juga mempersoalkan apakah nasib tanah yang diperuntukkan untuk projek tersebut.

"Adakah akan diambil alih oleh syarikat-syarikat perumahan besar bagi tujuan membina rumah- rumah yang hanya mampu lihat dan tengok.

“Ini sudah berlaku di Pulau Pinang pimpinan DAP. Tanah setinggan diroboh dan penduduk dihalau demi mencapai hasrat DAP untuk membina rumah-rumah mewah jenis kondominium yang pasti hanya segelintir rakyat yang mampu beli," katanya.

Sehubungan itu, belia mendesak agar pihak kerajaan tempatan memberikan kenyataan dan makluman kepada SPRM jika ada usaha-usaha menjual tanah-tanah tersebut kepada pihak yang ingin membina rumah-rumah mewah.

-Sinar Harian